ARTIKEL

Projek terbantut selepas pertukaran kerajaan Persekutuan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dakwaan berhubung peruntukan RM950 juta bagi projek Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar disifatkan tidak menggambarkan keadaan sebenar apabila hanya sekitar RM500 juta pernah dijanjikan kerajaan Persekutuan ketika itu.

ADUN Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, fakta itu perlu diperjelaskan susulan isu berkenaan terus dibangkitkan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menurut beliau, pembangunan jelapang padi Batang Lupar melibatkan kawasan kira-kira 5,000 hektar di Entulang, Seduku, Gran/Stumbin/Tanjong Bijat, Lingga-Banting serta IADA Batang Lupar sebenarnya telah dimulakan lebih awal termasuk pembinaan infrastruktur asas seperti sistem pengairan dan stesen pam.

“Bagaimanapun, projek itu terbantut selepas pertukaran kerajaan Persekutuan pada 2018 apabila aktiviti pembinaan dihentikan dan pembiayaan pembangunan tidak diteruskan.

“Akibatnya, sehingga 2023 hanya 196 hektar berjaya diusahakan,” katanya pada sidang media di Bilik Media DUN Sarawak, hari ini menjawab kritikan Chong terhadap kerajaan Sarawak dan GPS berhubung isu projek berkenaan.

Lo turut mendakwa rakyat Sarawak masih ingat janji yang dibuat Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya termasuk berkaitan MA63, pemulangan hak Sarawak, autonomi pendidikan dan kesihatan serta pengembalian hasil cukai kepada Sarawak, namun gagal direalisasikan selepas membentuk kerajaan.

Beliau berkata, beberapa projek pembangunan utama di Sarawak termasuk Lebuh Raya Pan Borneo turut terkesan selepas kerajaan PH menamatkan model Project Delivery Partner (PDP) — menyebabkan penstrukturan semula dan kelewatan pelaksanaan.

Projek jambatan utama seperti Batang Lupar, Batang Rambungan, Batang Igan, Batang Lassa, Batang Paloh dan Batang Kemena juga antara yang terjejas.

Menurut beliau, kerajaan Sarawak akhirnya menggunakan dana sendiri untuk memastikan pembangunan rakyat terus berjalan termasuk menyiapkan 894 kilometer jalan raya serta 17 jambatan di seluruh negeri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU