Promosi perpaduan akar umbi

SIBU: Persatuan Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) Cina Bahagian Sibu digesa bersamasama mempromosi budaya perpaduan dan harmoni di peringkat akar umbi. Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata, komuniti Cina di peringkat akar umbi perlu mewujudkan hubungan baik dengan semua kaum.

“Masa depan negeri ini memerlukan keharmonian semua kaum bagi membina Sarawak ke arah kestabilan dan kemakmuran yang berterusan. “Justeru, Persatuan KMKK Cina Bahagian Sibu ini berperanan penting untuk membawa komunitinya bersatu serta mewujudkan perpaduan dengan semua kaum bagi menyemarakkan keharmonian di Sarawak.

“Tiada eleman lain yang boleh menstabilkan sesebuah negara mahupun negeri kalau tiada perpaduan antara kaum yang mendiaminya,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina di sini baru-baru ini. Annuar yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, Sarawak mempunyai 17 etnik kaum dan ia memerlukan hubungan baik dengan satu sama lain.

“Walaupun anda seorang hartawan dan banyak duit, ia tidak bermakna kalau negeri kita tidak aman. “Nilai keharmonian ini sangat penting, oleh itu, saya mahu rakyat di negeri ini terus bersatu padu ke arah membina Sarawak yang kukuh dan stabil demi rakyat,” tegasnya.

Dr Annuar berkata, hubungan baik kepelbagaian kaum di negeri ini harus diteruskan serta dipupuk sepanjang masa. “Sebagai barisan depan yang paling dekat dengan rakyat, KMKK hendaklah memainkan peranan penting untuk menunjukkan atau mengalakkan semangat sedemikian di kalangan anak-anak buah anda.

“Bergaul dan memupuk hubungan baik dengan orang lain agar silaturahim kita dapat diperluaskan,” tegasnya lagi. Beliau juga mahu ahli persatuan sentiasa bekerjasama dalam apa jua usaha bagi manfaat bersama. “Jangan hanya menfokuskan kepada kebajikan ahli sahaja tetapi cuba berinteraksi dan bekerja dengan semua kaum.

“Ini sebahagian usaha kita mewariskan semangat keharmonian berbilang kaum ini kepada generasi baharu. “Sarawak tidak akan mempunyai masa depan yang cerah seandainya kita tidak bersatu dalam berbilang kaum di bawah satu negeri meskipun mempunyai kepelbagaian etnik,” tegasnya lagi.

Suara Sarawak