ARTIKEL

Promosi Tiket IXF 2025 Sempena Hari Orang Asal Sedunia

Promosi Tiket IXF 2025 Sempena Hari Orang Asal Sedunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Bersempena dengan sambutan Hari Antarabangsa Masyarakat Orang Asal Sedunia esok, orang ramai berpeluang untuk mendapatkan promosi Beli Satu Percuma Satu bagi tiket Indigenous Exchange Festival 2025 (IXF) yang ditawarkan terhad selama 48 jam.

Penerbit Eksekutif merangkap kurator bersama IXF 2025, Juvita Tatan Wan berkata, festival ini lebih daripada sekadar perayaan seni dan warisan, sebaliknya ia adalah jemputan untuk berkongsi, berhubung, belajar dan menghargai kebijaksanaan serta kreativiti komuniti orang asal.

“Kami mahu pengalaman ini dapat diakses oleh seramai mungkin dan promosi tiket bersempena dengan Hari Antarabangsa Masyarakat Orang Asal Sedunia adalah cara kami untuk mengalu-alukan lebih ramai suara dan hati untuk terlibat dalam perbualan penting ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pas festival boleh dibeli secara eksklusif melalui Ticket2u bermula pada pukul 12 tengah malam esok hingga 11.59 malam pada 10 Ogos.

“Mercure Miri City Centre turut menawarkan kadar istimewa festival iaitu RM240 bersih untuk satu malam termasuk satu sarapan atau RM270 bersih untuk satu malam termasuk dua sarapan.

“Maklumat lanjut dan kod promosi boleh didapati di laman sesawang www.ixfest.com,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa festival anjuran The Tuyang Initiative dan The Culture Capital yang bakal berlangsung dari 12 hingga 14 September 2025 di Piasau Nature Reserve itu mengundang orang ramai khususnya keluarga, penggiat seni dan budaya untuk tidak melepaskan peluang istimewa ini.

“Anda berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada salah satu perhimpunan budaya paling dinamik di rantau ini yang meraikan kreativiti, pengetahuan serta warisan hidup masyarakat orang asal, sekali gus memupuk solidariti melalui seni dan kreativiti.

Jelasnya lagi, selain persembahan harian oleh Velvet Aduk, At Adau dan Tagaps Dance Theatre serta Tokoh Warisan Kebangayaan dan maestro sape Malaysia, Mathew Ngau Jau, pengunjung juga berpeluang untuk menikmati pameran oleh Borneo Altered Natives yang merupakan gabungan artis orang asal dari seluruh Borneo.

“Mereka juga boleh menonton filem karya pengarah orang asal, meneroka permainan tradisional, menyertai bengkel kraf serta merasai hidangan masyarakat pelbagai etnik dari rantau ini,” katanya.

Jelasnya, Rakan Hotel Rasmi ialah Mercure Miri City Centre, Rakan Kelestarian ialah Cuckoo, manakala acara ini mendapat pengiktirafan Majlis Bandaraya Miri serta sokongan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak.

Sementara itu, pengasas bersama The Culture Capital merangkap Pengarah Kreatif IXF, Poh Leong Koh berkata, pengunjung boleh menjangkakan program yang meriah dan pelbagai, merangkumi tarian, muzik, seni tatu, seni visual, filem, puisi, ceramah warisan serta pasar tamu yang menjadi kegemaran ramai.

“Pengalaman ini diperkaya lagi dengan ucaptama dan sesi ‘fireside’ yang direka untuk memupuk pertukaran budaya serta dialog bermakna antara peserta dengan komuniti,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai