PUTRAJAYA: Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menentukan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ditetapkan pada petang Khamis, 19 Mac ini bersamaan 29 Ramadan 1447 Hijrah, menurut pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata pengisytiharan ini dibuat bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim setelah mendapat perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
“Jawatankuasa berkaitan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Syawal di 29 lokasi cerapan di seluruh negara.
“Antara lokasi cerapan termasuk Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian (Johor), Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara (Melaka), Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan) serta Baitul Hilal Bukit Melawati dan Bukit Jugra di Selangor.
“Selain itu, cerapan juga akan dilakukan di Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, cerapan ini dijalankan di Pantai Pasir Panjang, Manjung (Perak), Pusat Falak Sheikh Tahir, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak dan Pulau Langkawi (Kedah) serta Menara Alor Setar.
“Bagi kawasan Pantai Timur, lokasi cerapan merangkumi Bukit Besar, Bukit Geliga, Pulau Perhentian dan Balai Cerap KUSZA di Terengganu, manakala di Kelantan melibatkan Bukit Peraksi, Bukit Kampong Tembeling dan Menara Bangunan SEDC.
“Bagi Sabah dan Sarawak, cerapan akan dijalankan di Pusat Falak Miri, Teluk Bandung (Kuching) dan Pusat Falak Bintulu di Sarawak; manakala di Sabah, lokasi terlibat ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan serta Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan,” ujarnya.
Selain itu, lokasi lain yang disenaraikan ialah Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung Brinchang (Cameron Highlands), Menara 188 Kuantan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.
“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa kaedah menetapkan tarikh awal Syawal adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
“Tarikh sebenar Hari Raya Aidilfitri akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam tersebut melalui siaran radio dan televisyen,” jelasnya.






