SIBU: Meluluskan resolusi untuk membubarkan parti, menjadi antara agenda dalam Persidangan Perwakilan Luar Biasa, Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 17 Februari ini.
Menerusi notis persidangan yang akan berlangsung di Joystar Garden Restaurant, Sibu itu, Presiden Dato Sri Wong Soon Koh akan menyampaikan ucapan pembukaan.
Ia kemudian disusuli dengan ucapan Timbalan Presiden Dr Johnichal Rayong dan Setiausaha Agung Baru Bian.
PSB sebelum ini dilaporkan akan membubarkan parti itu dalam tahun ini untuk merealisasikan penggabungannya dengan Parti Demokratik Progresif (PDP), selepas menerima ‘lampu hijau’ untuk kira-kira 80,000 ahlinya menyertai PDP secara serentak.
PSB merupakan parti pembangkang yang menjadi seteru kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutama dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 yang lalu, manakala PDP adalah parti komponen GPS.
Semalam, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata penggabungan antara PDP dan PSB akan dirancang dan dilaksanakan dengan teliti bagi mematuhi Undang-Undang Anti Lompat Parti.
Bagaimanapun, Tiong enggan memberikan butiran lanjut mengenai proses itu.
“Kami akan memuktamadkan semuanya terlebih dahulu. Setelah selesai, kami akan membuat pengumuman.
“Proses ini serupa dengan perkahwinan. Selepas mengikat tali pertunangan, kami akan maklumkan kepada orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina ke kediaman Wong.



