ARTIKEL

Psikologi bantu kekal konsistensi azam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SETIAP kali tirai tahun baharu dibuka, ramai antara kita kembali menyenaraikan azam yang hampir serupa dengan tahuntahun sebelumnya.

Ada yang mahu lebih sihat, lebih berjaya, lebih tenang atau lebih bahagia.

Namun, persoalan yang sering timbul ialah mengapa azam yang sama diulang walaupun belum berjaya dicapai?

Menurut Kaunselor yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kognitif dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr Amalia Madihie, fenomena ini adalah sesuatu yang sangat manusiawi dan bukan satu kegagalan mutlak.

“Setiap kita sentiasa mencari satu titik permulaan apabila ingin menetapkan semula matlamat dan hala tuju hidup.

Azam membawa maksud tekad dan keinginan untuk mencapai sesuatu matlamat, namun realitinya ramai hanya berhenti pada tahap niat.

“Keazaman yang tidak cukup kukuh, strategi yang tidak sesuai atau matlamat yang terlalu ideal sering menjadi penghalang utama.

Akhirnya, azam kekal sebagai hasrat yang berulang dari tahun ke tahun,” katanya kepada Suara Sarawak.

Namun, jelasnya, azam yang berulang tidak seharusnya dilihat sebagai kegagalan.

Dari sudut psikologi, ia sebenarnya boleh menjadi sebahagian daripada proses perkembangan diri yang normal.

Dr Amalia menegaskan bahawa kegagalan bukan alasan untuk menghukum diri, sebaliknya peluang untuk refl eksi.

“Kegagalan adalah satu proses untuk kita terus memperbaiki diri, bukan untuk melemahkan keyakinan diri.

“Dengan menilai kemampuan sebenar, mengenali kekuatan dan kelemahan diri serta mengelakkan perbandingan dengan orang lain, individu dapat membina perkembangan yang lebih sihat dan bermakna.

Perubahan tingkah laku pula sememangnya memerlukan masa.

Manusia perlu melalui proses adaptasi apabila mempelajari sesuatu yang baharu.

Setiap individu adalah unik; ada yang cepat menyesuaikan diri, ada yang memerlukan tempoh lebih panjang.

Kejelasan niat dan matlamat menjadi asas penting kepada perubahan ini.

Selain itu, perubahan yang dirancang berbeza kesannya dengan perubahan yang berlaku secara mendadak akibat tekanan hidup seperti musibah, kehilangan atau masalah di tempat kerja.

Dalam keadaan ini, keupayaan membina resiliens amat penting agar individu mampu bangkit dan menyesuaikan diri dengan cabaran kehidupan.

Menurut beliau, azam tahunan berperanan besar membentuk motivasi dan hala tuju hidup.

Ia menjadi pencetus semangat untuk individu meneruskan usaha mencapai matlamat agar hidup lebih seimbang dan bahagia.

Konsep tahun “baharu” memberi ruang psikologi untuk melakukan proses reset, relook, recharge dan restart.

Seperti yang dijelaskan oleh Dr Amalia, “Tahun baharu memberi peluang untuk kita melihat kembali apa-apa yang telah dicapai, memperbaiki strategi dan mencuba semula tanpa perlu menunggu kegagalan demi kegagalan,” ujarnya.

Faktor emosi dan tabiat lama katanya, turut mempengaruhi  kejayaan azam.

Emosi positif dan negatif sama-sama penting dalam kehidupan.

Yang perlu diperbaiki ialah cara meregulasi emosi negatif secara sihat.

Kesedihan, kekecewaan dan kemarahan perlu divalidasi agar kegagalan dapat ditafsir sebagai peringatan dan bukan pengakhiran.

“Tabiat lama pula sering menjadi automatik kerana telah lama berakar dalam minda bawah sedar, menjadikannya sukar diubah tanpa niat yang benar-benar teguh.

Namun, perubahan tabiat tidak perlu menunggu tahun baharu; ia boleh dimulakan pada bila-bila masa apabila individu bersedia.

“Keberkesanan menetapkan azam sama secara berperingkatperingkat atau azam baharu setiap tahun bergantung kepada keunikan individu.

Ada yang sesuai dengan matlamat besar yang dipecahkan kepada matlamat kecil.

Yang penting ialah sentiasa melakukan ‘check and balance’ terhadap strategi, belajar meregulasi emosi dan meningkatkan tahap resiliens dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Tambah beliau, psikologi memainkan peranan penting membantu seseorang mengekalkan konsistensi azam.

Ia membantu individu memahami diri sendiri, mengurus emosi dan membina tingkah laku yang lebih sihat.

“Psikologi membantu kita kekal istiqamah bukan dengan memaksa diri, tetapi dengan memahami diri,” ujar Dr Amalia.

Melalui penetapan matlamat realistik, kawalan kendiri, pengurusan tekanan, minda sihat, ganjaran kendiri dan sokongan sosial, azam menjadi lebih mudah dikekalkan.

Justeru, katanya, azam tahunan membantu seseorang menilai diri dan meningkatkan kualiti kehidupan secara menyeluruh.

Azam bukan tentang menjadi sempurna, tetapi tentang keupayaan untuk terus bangkit dan bertahan.

Dari lensa resiliens, setiap kejatuhan adalah sebahagian daripada proses kehidupan.

“Azam yang resilien bukan azam yang kaku, tetapi azam yang boleh berkembang bersama diri kita,” kata beliau.

Dalam dunia yang penuh tekanan dan ketidaktentuan, kekuatan sebenar bukan datang daripada paksaan untuk berjaya, tetapi daripada keberanian untuk melangkah walaupun dalam keadaan tidak sempurna.

Azam baharu akhirnya menjadi simbol kesedaran diri, empati terhadap diri sendiri dan keyakinan bahawa setiap langkah kecil tetap membawa makna dalam perjalanan hidup.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU