BAU: Yang suatu ketika dahulu sering dianggap sunyi selepas waktu tengah hari, kini berubah wajah apabila Pub Street @ Lobuh menjadi tumpuan penduduk dan pelancong setiap hujung minggu.
Setiap malam Jumaat dan Sabtu, kawasan lapang di tengah bandar itu dipenuhi pengunjung yang datang menikmati pelbagai juadah tempatan, persembahan muzik secara langsung serta meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.
Deretan gerai makanan, persembahan hiburan secara langsung dan pelbagai aktiviti komuniti menjadikan Lobuh Bau kembali meriah selepas sekian lama berdepan persepsi sebagai bandar mati sebaik sahaja waktu pejabat berakhir.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, berkata inisiatif itu diwujudkan bagi menghidupkan semula aktiviti sosial dan ekonomi di bandar Bau.
“Ketika saya mula menjadi wakil rakyat, ramai datang kepada saya dan berkata Bau seperti bandar mati kerana tiada aktiviti selepas jam dua petang.
“Ketiadaan aktiviti bermaksud tiada pergerakan, tiada aktiviti sosial dan tiada perniagaan. Kini, selepas lima hingga enam tahun, kita berjaya menjadikan Bau sebuah bandar yang hidup, siang dan malam,” katanya.

Pub Street @ Lobuh Bau mula beroperasi pada April 2022 sebelum dilancarkan secara rasmi pada Julai tahun yang sama.
Inisiatif itu bukan sahaja menyediakan ruang makan terbuka kepada orang ramai, malah menjadi platform membantu peniaga kecil meningkatkan pendapatan mereka.
Bagi pengusaha Lok Lok, Nora Ahien, peluang berniaga di Pub Street @ Lobuh membolehkan beliau memperoleh lebih ramai pelanggan, khususnya pada hujung minggu.
Namun, katanya, faktor cuaca masih menjadi cabaran utama memandangkan kawasan itu masih terbuka.
“Kalau hujan, jualan boleh menjadi lebih rendah berbanding hari biasa,” katanya.

Sementara itu, pengusaha Cita Rasa Asian, Siti Mastura, berkata sambutan terhadap makanan yang dibawanya dari Miri sejak tujuh bulan lalu amat menggalakkan.
Bagaimanapun, beliau berharap kemudahan seperti perlindungan daripada hujan dapat ditambah baik bagi memastikan aktiviti perniagaan dapat diteruskan dengan lebih selesa.
Selain menjadi lokasi makan malam, Pub Street @ Lobuh turut menyumbang kepada usaha memperkukuh sektor pelancongan Bau yang terkenal dengan pelbagai tarikan seperti Gua Angin, Gua Pari-Pari, sejarah perlombongan emas serta warisan budaya masyarakat Bidayuh.
Dengan adanya aktiviti pada waktu malam, pengunjung yang datang meneroka pelbagai destinasi menarik di sekitar Bau kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk menghabiskan masa dan menikmati suasana bandar itu.



