ARTIKEL

Puisi mereka bergema di Kuching 15 Ogos

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUISI bakal bergema di bumi Kenyalang apabila Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Kebangsaan Ke-40 2026 akan menghimpunkan barisan deklamator terbaik dari seluruh negara di Kuching, Sarawak pada 15 Ogos ini.

Lebih daripada sekadar pertandingan mengolah kata dan suara, sayembara deklamasi ini tampil sebagai wadah seni yang menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta mengangkat puisi sebagai medium untuk menyuburkan rasa cinta terhadap tanah air.

Program berprestij ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) dan Majlis Seni Sarawak serta 20 badan gabungan GAPENA di seluruh Malaysia.

Selain itu, program ini turut mendapat sokongan daripada Kerajaan Sarawak.

Tahun ini lebih istimewa apabila Kuching dipilih sebagai pentas peringkat kebangsaan bagi edisi ke-40, sekali gus memberikan dimensi baharu kepada sambutan Bulan Kemerdekaan melalui kekuatan seni dan kesusasteraan.

Manakala PEKASA yang merupakan sebahagian daripada Sekretariat SDPK Kali Ke-40 ini turut meraikan ulang tahun penubuhan kali ke-21.

Tradisi SDPK sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang.

Bermula pada 1987, Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan diperkenalkan sebagai salah satu acara perayaan bulan kemerdekaan di peringkat negeri dan kebangsaan.

GAPENA kemudiannya diberi mandat untuk menganjurkannya dengan kerjasama pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan institusi berkaitan.

Sepanjang penganjurannya, sayembara ini berkembang ke seluruh pelosok negara, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta universiti awam.

Dari pentas inilah lahir ribuan deklamator yang menjadikan puisi sebagai suara jiwa, bangsa dan negara. Kini, selepas empat dekad, tradisi tersebut terus dipertahankan.

SDPK bukan sekadar mencari juara, sebaliknya berusaha membina generasi yang mampu menghayati makna kemerdekaan dan menerjemahkannya melalui pengucapan puisi yang penuh penghayatan.

Seramai 17 peserta yang mewakili negeri-negeri seluruh Malaysia, termasuk Sarawak, Sabah, Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/ Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan, selain wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), akan bersaing merebut kejuaraan.

esemua peserta akan mendeklamasikan puisi daripada Antologi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan: Atma Berdaulat terbitan GAPENA, tahun 2026.

Pemilihan karya ini tentunya menjadikan pentas SDPK Ke-40 sebagai ruang pertemuan kekuatan bahasa, penghayatan seni dan semangat kebangsaan.

Pertandingan yang berlangsung pada 15 Ogos depan, mulai jam 8.00 pagi di Hotel Theatre, Kuching itu turut menawarkan ganjaran yang menarik.

Johan bakal membawa pulang Piala Pusingan SDPK Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Trofi Johan SDPK, wang tunai RM5,000, hadiah iringan dan watikah penghargaan.

Naib Johan pula menerima RM3,000 manakala tempat ketiga menerima RM2,000.

Tempat keempat hingga keenam masing-masing menerima RM500, sementara peserta akhir yang tidak mendapat tempat turut menerima sagu hati RM300.

Namun, hadiah bukan satusatunya nilai yang ditawarkan.

Lebih besar daripada wang tunai dan trofi ialah peluang untuk membawa suara negeri dan daerah masing-masing ke pentas kebangsaan, di samping menghidupkan kembali tradisi pengucapan puisi sebagai sebahagian daripada denyut nadi budaya Malaysia.

Kemuncak acara akan diteruskan pada sebelah malam menerusi Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah SDPK Ke-40, yang dijadualkan pada jam 7.30 malam di Hotel Pullman, Kuching.

Majlis tersebut akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Premeir Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Penganjuran SDPK Ke-40 di Kuching juga memberi peluang kepada Sarawak untuk memperlihatkan wajahnya sebagai negeri yang kaya dengan seni, budaya dan kesusasteraan.

Kehadiran para deklamator, penggiat sastera dan pencinta puisi dari seluruh Malaysia menjadikan acara ini bukan sahaja sebuah pertandingan, malah sebuah pertemuan budaya yang mempererat hubungan antara negeri dan masyarakat.

Dalam suasana negara menyambut kemerdekaan, puisi kembali mengambil tempat sebagai suara yang menyatukan.

Setiap bait yang dilafazkan membawa cerita tentang tanah air, setiap intonasi menghidupkan semangat bangsa dan setiap persembahan menjadi tanda bahawa cinta kepada Malaysia boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk.

SDPK Ke-40 bukan sekadar mencari juara.

Ia mengangkat suara Malaysia melalui puisi, menyatukan bangsa melalui seni dan menghidupkan semangat merdeka melalui kata.

Dari Sarawak, puisi akan bergema membawa pesanan penting bahawa merdeka bukan sekadar sejarah untuk dikenang tetapi semangat untuk terus diperjuangkan agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang. 

BERITA LAIN

FIA puas hati persiapan Sepang

PERSIAPAN menghadapi Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini mendapat penilaian positif daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa

Lewis Hamilton miliki Ferrari F40 idaman

Dunia Automotif LEWIS HAMILTON akhirnya merealisasikan impian yang dipendam sejak zaman kanak-kanak apabila berjaya memiliki sebuah Ferrari F40, kereta ikonik yang disifatkannya sebagai kenderaan idaman

BERITA TERBARU