ARTIKEL

Punca DAP, PH demam di Johor

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEFISIT kerusi yang dialami Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2026 telah dijangka. DAP hanya menang enam kerusi, namun parti itu tetap memberi sumbangan terbanyak untuk Pakatan Harapan (PH) yang keseluruhannya menang hanya lapan berbanding 48 kerusi yang dinikmati Barisan Nasional (BN). Pada pilihan raya 2022, DAP menang 10 kerusi, Amanah dan PKR masing-masing satu – berbanding pada 2018, yang menyaksikan DAP menguasai 14 kerusi, PKR 5, Bersatu 8, dan Amanah 9. Sekurang-kurangnya DAP Johor masih diberi “nyawa” oleh pengundi Cina dan India Johor untuk meletakkan wakil mereka dalam DUN.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu, parti ini dipancung terus. Mereka gagal mempertahankan sebarang kerusi, sekali gus terkeluar sepenuhnya daripada peta politik negeri itu buat pertama kali sejak tahun 2004. Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub ketika itu mentafsirkan “wipe-out” di Sabah berpunca daripada beberapa faktor kritikal termasuk isu dalaman dan perubahan pola sokongan pengundi muda.

Beliau juga melihat sabotaj dalaman seperti tindakan bekas Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon bertanding atas tiket Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), selain “swing vote” pengundi Cina dan belia kepada Warisan susulan pelaksanaan Undi 18. Lalu, di Johor ini apa pula alasan mereka?

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, berlaku peralihan undi penyokong PN kepada calon-calon BN. Beberapa kerusi yang dimenangi DAP pada pilihan raya lalu menerusi pertandingan tiga penjuru gagal dipertahankan apabila saingan bertukar kepada satu lawan satu antara PH dan BN.

Benar atau tidak, PH turut mendakwa mereka tidak bersedia dalam pilihan raya kali ini. Realitinya, mana-mana parti politik perlu bekerja setiap masa seolah-olah esok mahu pilihan raya. Dan paling penting, DAP tidak sepatutnya mengharapkan kehadiran pihak ketiga untuk membolehkan mereka menang, atas faktor pecah undi. Parti dan pemimpin yang terbaik harus bergerak atas kapasiti sendiri. Baik parti mahupun personaliti calon sendiri. Bukannya menang melalui sepakan penalti.

Meski kehilangan empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tetapi DAP sebenarnya memperoleh 226,592 undi di 10 kerusi yang ditandingi berbanding 159,769 undi pada PRN Johor 2022. Meningkat tapi tetap kalah. Yang pasti, dua PRN muktahir ini memberikan mesej jelas agar DAP menilai semula strategi mereka.

Dua PRN ini membuktikan gelanggang pilihan raya kali ini bukan mudah dan parti itu perlu memahami dinamika baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Berdasarkan capaian penulis kepada beberapa analisis, antara faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan DAP termasuklah gelombang sokongan kepada BN di Johor. Kemenangan BN bukan sekadar kemenangan tipis, tetapi “landslide”.

Jika suatu ketika BN Sarawak pernah menang kerana aura Tok Nan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang kerana aura Abang Jo, tidak keterlaluan dikatakan BN Johor menang kerana aura Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi. Kerana itu difahamkan calon-calon BN dalam PRN Johor kali ini cukup istimewa, kerana ia bukan ditentukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Sebaliknya disediakan oleh Onn dan Hishamuddin, dan direstui oleh beberapa pihak lain – bagi melincirkan kemenangan.

“Onn tetap On”. Onn mendapat penilaian positif daripada ramai pengundi, khususnya kerana komitmennya berkaitan pembangunan ekonomi Johor, pelaburan asing, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dan kestabilan pentadbiran. Dalam keadaan sedemikian, pengundi lebih cenderung mengekalkan kerajaan negeri sedia ada. Apatah lagi ia mendapat sokongan Istana Bukit Serene – sesuatu yang bukan rahsia.

Justeru bagaimana DAP hendak menghadapi kekuatan seperti ini? Pada masa yang sama, berlaku hakisan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap PH dan DAP. Salah satu perkembangan paling ketara ialah kemerosotan sokongan dalam kalangan pengundi Cina dan bukan Melayu di kubu kuat DAP. Puncanya, DAP dan PH telah diberi peluang mentadbir negara, dan hasilnya tidak seperti mereka harapkan.

Jika DAP dan PH memainkan isu Najib bebas jika BN menang, dan Onn tidak berterima kasih dengan bantuan PH, ternyata mereka silap catur strategi. Malah cabaran Nga Kor Ming untuk letak jawatan jika BN menang besar, dan Najib bebas umpama “membakar diri”, kerana ia adalah isu nasional yang ternyata tidak menjadi. Isu Najib sudah lama berlaku.

Kenapa masih melontarkan isu tersebut, sedangkan Najib sudah dipenjara dan dihukum. Adakah tidak ada BN pula memperoleh momentum politik yang besar dan ini dijangka berjangkit kepada negeri lain, termasuk Negeri Sembilan. Di Sarawak? DAP yang tinggal berdua mungkin lagi pening?

Sekarang isu yang didendang adalah sehabis halus termasuk mengecam Datuk Bandar Kuching Selatan sebagai Datuk Bandar Festival Kuching. Semakin banyak pembangunan berlangsung di Sarawak, semakin mereka susah hati kerana ketandusan isu.Manakala isu-isu yang dimainkan oleh pemimpin mereka sebelum ini seperti “Sarawak Bankrap” dan “tiga jambatan ditangguh” bagai memakan diri. Adakah ini petanda mereka akan turut ditolak di Sarawak? Nampaknya “demam” DAP bakal berlarutan.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU