BINTULU: Satu insiden tanah runtuh telah berlaku pada 29 Januari lalu di lereng antara embung air Bintulu Port Sdn. Bhd. (BPSB) dan Kilang Pembotolan LPG PUSAKA akibat hujan lebat yang berterusan.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhubungan Korporat Bintulu Port Holdings Berhad, tanah runtuh tersebut menyebabkan hakisan kira-kira satu per lima daripada asas embung air berkenaan.
Bagaimanapun, struktur keseluruhan tangki air masih kekal utuh dan tidak menjejaskan keselamatannya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak BPSB telah mengosongkan air dari tangki tersebut bagi mengelakkan risiko lebih lanjut.
Menurut kenyataan itu lagi, kilang pembotolan gas petroleum cecair (LPG) Pusaka Integrated Resources Sdn. Bhd. (PIRSB), yang beroperasi berdekatan, turut terjejas akibat insiden ini.
BPSB sedang bekerjasama rapat dengan PIRSB serta pihak berkuasa yang berkenaan, termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), untuk menangani masalah hakisan dan memastikan langkah-langkah keselamatan dilaksanakan dengan segera.
“Kami di Bintulu Port Holdings Berhad ingin menegaskan bahawa keselamatan semua pihak, termasuk kakitangan, pihak berkepentingan, dan komuniti setempat, adalah keutamaan kami.
Kami akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk menyokong PIRSB dalam memulihkan operasi mereka dan memastikan tiada bahaya atau gangguan lebih lanjut,” kata kenyataan tersebut lagi.
BPSB turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul akibat insiden ini dan berjanji akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengatasi isu tersebut dengan segera,tambahnya.



