TANJUNG MANIS: Inisiatif T&T Mini Lab kendalian Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) terus diperluaskan ke lebih banyak sekolah luar bandar sebagai usaha memupuk minat pelajar dalam bidang digital dan teknologi sejak di bangku sekolah.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, pendekatan itu bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap kemahiran abad ke-21, malah mampu merapatkan jurang digital antara pelajar bandar dengan luar bandar.
Menurut beliau, program berkenaan berjaya dilaksanakan di 11 sekolah pada 2022 dan diperluaskan di 14 sekolah lagi tahun ini, termasuk SMK Belawai, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan Sarawak yang celik teknologi.
“Melalui T&T Mini Lab, pelajar diberi peluang meneroka asas pengaturcaraan, robotik dan pengendalian dron dalam suasana pembelajaran interaktif.
Ini adalah langkah penting ke arah menjadikan mereka pencipta teknologi, bukan sekadar pengguna,” katanya pada Majlis Perasmian Program Jerayawara ‘Project Of Dream Realize (PRO -DR) Siri Ke-10’ di Dewan IKS Tanjung Manis semalam.
Tambah beliau, TEGAS menekankan kerjasama antara industri dengan institusi pendidikan sebagai tunjang kejayaan inisiatif tersebut, selain peranan ibu bapa, guru, komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta yang menjadi pemangkin kepada ekosistem pendidikan yang lebih inklusif.
“Gabungan kekuatan pelbagai pihak ini akan melahirkan generasi pelajar luar bandar yang memiliki jati diri tinggi, daya saing kukuh dan wawasan yang jelas terhadap masa depan dalam dunia teknologi,” ujarnya
. Katanya lagi, pelaburan dalam bidang pendidikan teknikal dan digital merupakan pelaburan jangka panjang yang tidak ternilai kerana ia menyentuh pembangunan aspek paling penting dalam sesebuah tamadun, iaitu manusia itu sendiri.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 bagi menubuhkan T&T Mini Lab di SMK Belawai, sebagai usaha menyokong peningkatan kualiti pendidikan dan membina bakat inovasi dalam kalangan pelajar luar bandar.
“Saya menyeru semua pihak agar terus menyokong inisiatif ini, agar lebih ramai anak Sarawak dapat mencipta kejayaan melalui peluang yang sedang kita usahakan hari ini,” katanya.



