ARTIKEL

Gambar hiasan

Pusat hiburan beroperasi lebih masa 10 minit dari waktu dibenarkan, pengurus didenda RM1,500.

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang pengurus pusat hiburan didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah kerana membenarkan premis hiburan yang diurusnya beroperasi lebih masa 10 minit daripada waktu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Tertuduh, Neyreson, 24, dari Tudan, Miri, mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah Seksyen 24 Ordinan Hiburan 2001 di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku pengurus premis telah melanggar syarat lesen yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) apabila membenarkan pusat hiburan di Jalan Petanak beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan iaitu dari jam 12.00 tengah hari hingga 2.30 pagi.

Kesalahan itu dilakukan sekitar jam 2.40 pagi pada 6 Disember lalu.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan polis telah menjalankan serbuan sempena Ops Noda Pusat Hiburan di sebuah premis di Jalan Petanak.

Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan masih beroperasi dengan muzik dimainkan pada tahap kuat serta seramai 46 individu berada di dalam premis dan sedang berhibur.

Semakan lanjut mendapati premis tersebut memiliki lesen hiburan yang sah namun beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan seperti ditetapkan oleh MBKS.

Siasatan turut mendapati tertuduh merupakan pengurus premis berkenaan dan mempunyai kawalan penuh terhadap pengurusan serta aktiviti yang dijalankan di pusat hiburan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU