KUCHING: Pusat Komuniti Keperluan Khas (SNCC) Sarawak yang berfungsi sebagai pusat sehenti bersepadu menempatkan komuniti berkeperluan khas di bawah satu bumbung dijangka siap pada tahun 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, projek yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu menelan peruntukan sebanyak RM50 juta.
“Pusat yang memenuhi keseluruhan spektrum komuniti berkeperluan khas dari golongan muda hingga dewasa itu dibina di Lot 1797, Kawasan Muara Tuang, Bahagian Samarahan (Pusat Pemulihan Samarahan).
“Ia juga bertujuan menyediakan diagnosis, terapi, pendidikan, latihan vokasional, program bengkel dan kemudahan fasiliti yang komprehensif untuk semua komuniti memerlukan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesejahteraan Bersama (Sambutan Hari Warga Emas, Orang Kurang Upaya, Keluarga dan Kanak-Kanak) 2023 yang disempurnakan oleh Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia, di sini, hari ini.
Dengan kewujudan kompleks ini tambahnya, ia menjadikan Sarawak yang pertama di rantau Asia Tenggara membina pusat komuniti berkeperluan khas di bawah satu bumbung.
Dalam majlis yang sama, telah dilancarkan Majlis Kanak-Kanak Pihak Berkuasa Tempatan (LACC) di bawah pelan tindakan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak (CFCI) .
Majlis tersebut untuk merealisasikan Bandar Mesra Kanak-Kanak Sarawak sendiri menerusi lima pihak berkuasa tempatan yang telah menandatangani MoU dengan UNICEF.


