ARTIKEL

Pusat San Seng Tong Bongkar Pelan Didik Semua Peringkat Umur

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pusat Kebudayaan dan Pendidikan San Seng Tong memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda mengenai agama Buddha serta memupuk nilai-nilai murni sejagat sebagai sumbangan kepada pembinaan negara bangsa di Sarawak.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, projek pembinaan pusat berkenaan dilaksanakan sejak 2017 dengan kos keseluruhan RM20 juta dan kini sudah siap sepenuhnya.

“Ini merupakan satu penghormatan kerana bangunan baharu ini sangat luar biasa dan mempunyai ukiran yang menarik.

“Tujuan utamanya adalah untuk mendidik generasi muda bukan sahaja tentang agama Buddha, tetapi juga berkongsi nilai murni serta menyumbang kepada pembinaan negara bangsa di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan dan Pendidikan San Seng Tong di sini, hari ini.

Pusat tersebut dilengkapi dengan pelbagai ruang berfungsi termasuk pusat aktiviti pendidikan kanak-kanak dan belia, dewan aktiviti pelbagai guna, dewan meditasi serta dewan penyalinan sutra.

Sim bersama tetamu kehormat yang lain menyempurnakan upacara simbolik perasmian.

Perancangan ruang secara keseluruhannya mencerminkan pelan pendidikan menyeluruh merentas semua peringkat umur yang merangkumi keperluan kanak-kanak, belia, dewasa dan warga emas serta memenuhi pelbagai keperluan pembelajaran, pembinaan rohani, pertukaran budaya dan aktiviti komuniti.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) yang diterajui Datuk Georgina Apphia Ngau selaku pengarah kerana turut membantu membiayai pusat berkenaan.

“Setiap pihak telah memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Semua orang juga boleh menyumbang ke arah menjadikan bangunan ini sebagai mercu tanda penting bagi kawasan ini.

“Dengan stesen pertukaran Aliran Transit Autonomi (ART) yang hanya terletak dalam jarak berjalan kaki, pusat ini juga akan menarik pengunjung untuk datang dan melihat dengan lebih dekat ukiran yang ada di bangunan ini,” ujarnya.

Pusat Kebudayaan dan Pendidikan San Seng Tong bukan sekadar sebuah tempat penyebaran Dharma, kebudayaan dan pendidikan malah juga merupakan platform pemeliharaan warisan budaya, ruang pendidikan dan pembangunan rohani, hab jaringan dan keprihatinan komuniti serta amalan pendidikan sepanjang hayat untuk semua peringkat usia.

Sim turut merakam gambar kenangan bersama tetamu yang hadir.

BERITA LAIN

MK Melugu ungguli anugerah TVPSS

SIMANGGANG: Sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pelbagai pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan

BERITA TERBARU