KUCHING: Projek menaik taraf Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama kepada Pusat Seni Persembahan Sarawak kini mencapai kemajuan 46 peratus, malah mendahului jadual pembinaan sebanyak 1.6 peratus, sekali gus membuka laluan untuk kemudahan itu beroperasi menjelang Sukan SEA 2027.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata perkembangan itu memberi keyakinan projek berkenaan mampu disiapkan mengikut sasaran pada Jun 2027 kerana tempoh berkenaan amat penting memandangkan Sarawak bakal menjadi tumpuan sempena penganjuran Sukan SEA pada September 2027, yang dijangka menyaksikan kehadiran tetamu serta pemimpin dari negara ASEAN.

“Kalau tidak ada apa-apa halangan dan semuanya berjalan lancar, ia sepatutnya dapat disiapkan pada Jun 2027 dan kita berharap dapat mengadakan beberapa persembahan semasa Sukan SEA nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke tapak projek Pusat Seni Persembahan Sarawak di Bangunan DUN Lama, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, kemajuan projek kini lebih tertumpu kepada kerja kemasan dalaman, reka bentuk dalaman serta pemasangan berkaitan selepas kerja-kerja utama yang lebih sukar dilaksanakan sebelum ini sebahagian besarnya selesai.

Jelasnya, kompleks berkenaan bukan hanya merangkumi bangunan utama Pusat Seni Persembahan, malah turut membabitkan Dewan Lapau Lama, iaitu bangunan yang pernah menjadi lokasi upacara angkat sumpah, selain kawasan air pancut yang akan dinaik taraf sebagai sebahagian daripada keseluruhan kompleks.
Menurutnya, Dewan Lapau Lama akan dijadikan restoran berkonsepkan eksklusif, manakala kawasan sekitarnya pula akan dibangunkan sebagai ruang awam dan taman rakyat untuk aktiviti riadah serta kunjungan keluarga.

Tambahnya, jika projek dapat disiapkan pada Jun, kemudahan itu berpotensi dimanfaatkan untuk penganjuran persembahan seni ketika Sukan SEA, sekali gus menambah kemeriahan sambutan acara sukan berkenaan di Sarawak.
“Walaupun belum sempat dirasmikan secara rasmi menjelang September, kita mungkin boleh mengadakan persembahan tertentu atau pelancaran secara lembut sempena Sukan SEA,” ujarnya lagi.

Selain itu, Abdul Karim berkata, antara keistimewaan projek berkenaan ialah usaha mengekalkan sebahagian besar elemen asal bangunan yang mempunyai nilai sejarah, termasuk bumbung serta mozek kaca keemasan yang menjadi antara ciri estetik bangunan lama itu.
“Kalau kita tukar kepada jenis kepingan logam, nilai estetik bangunan ini akan berubah; sebab itu saya mahu mozek kaca keemasan asal dikekalkan,” katanya.
Menurutnya lagi, bangunan berkenaan mempunyai sejarah tersendiri kerana pernah menjadi lokasi persidangan DUN dan menyaksikan pelbagai peristiwa penting dalam pentadbiran Sarawak, termasuk dirinya yang pernah mengangkat sumpah sebagai Ahli DUN di situ pada 2001.
Sehubungan itu, katanya, sebuah galeri kecil dicadangkan untuk memaparkan sejarah bangunan berkenaan, selain penerbitan buku meja kopi selepas projek siap bagi mendokumentasikan kisah serta perkembangan bangunan itu.
Walaupun bangunan berkenaan belum diwartakan sebagai bangunan warisan, beliau memberitahu usaha mengekalkan elemen asal dan nilai sejarahnya penting bagi memastikan kenangan terhadap bangunan itu terus terpelihara.
Pada masa sama, beliau mendedahkan beberapa pihak dalam industri seni persembahan, termasuk dari Kuala Lumpur, sudah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam bidang berkenaan.
“Malah, ramai yang berada dalam bidang ini mahu bekerjasama dengan kita; kita beritahu mereka tunggu dahulu sehingga bangunan ini siap, selepas itu kita boleh melihat bentuk kerjasama yang sesuai,” katanya.
Mengenai nama rasmi kompleks berkenaan, Abdul Karim menjelaskan ia masih belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan dengan pihak berkuasa negeri, termasuk Premier Sarawak.
“Kita mahu ia menjadi sesuatu yang membanggakan semua rakyat Sarawak; bangunan ini akan menjadi ikon dan pusat seni persembahan yang tersendiri,” tegasnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, dan Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Morshidi Fred.


