MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin mendakwa peluru berpandu Sarmat terbaharu negara itu merupakan sistem peluru berpandu paling berkuasa di dunia dengan kapasiti lebih empat kali ganda berbanding sistem setara milik Barat, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Terdahulu, Komander Pasukan Peluru Berpandu Strategik Rusia, Kolonel Jeneral Sergei Karakaev melaporkan kepada Putin mengenai kejayaan ujian pelancaran peluru berpandu Sarmat.
“Ini ialah sistem peluru berpandu paling berkuasa di dunia dan tidak kurang hebat berbanding sistem peluru berpandu Voyevoda buatan Soviet yang masih dalam perkhidmatan.
“Jumlah kapasiti kepala peledak yang dihantar adalah lebih empat kali ganda berbanding mana-mana sistem setara milik Barat,” kata Putin.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pemaju Sarmat atas usaha memperkukuh keupayaan pertahanan Rusia.
Menurut Putin, roket Sarmat mampu bergerak bukan sahaja melalui laluan balistik, malah menggunakan trajektori suborbital.
Katanya, jarak penerbangan peluru berpandu Sarmat mungkin melebihi 35,000 kilometer.
Dalam perkembangan sama, Putin berkata usaha memperkukuh pasukan pencegahan Rusia diteruskan tanpa henti sejak awal 2000-an.
“Saya harus katakan secara jujur, kami tidak bersedia ketika itu. Rusia ketika itu sedang melalui tempoh yang amat sukar dalam sejarahnya,” katanya. – BERNAMA



