KUALA LUMPUR: Presiden Rusia Vladimir Putin menyampaikan salam kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di New Delhi pada Jumaat, di luar Sidang Kemuncak BRICS ke-18.
Menurut transkrip di laman sesawang Kremlin, Anwar sebelum itu menyampaikan salam hormat Sultan Ibrahim kepada Putin serta mengulangi undangan baginda supaya Presiden Rusia itu mengadakan lawatan negara ke Malaysia.
Putin berkata beliau dan Sultan Ibrahim berbesar hati dapat bertemu di Moscow pada Mei lepas sempena sambutan ulang tahun ke-81 Hari Kemenangan. Sultan Ibrahim pernah melawat Rusia tiga kali, termasuk lawatan negara pada Ogos 2025 dan lawatan khas pada Januari 2026.
Putin menyifatkan hubungan Rusia-Malaysia sebagai mesra dan berada pada tahap tinggi.
Beliau turut menyentuh ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun depan serta berharap kerjasama sedia ada terus diperkukuh seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya Kelima berlangsung di Vladivostok pada Ogos lalu. Rusia turut mementingkan kerjasama dalam pendidikan, sains, teknologi dan pelancongan, manakala perdagangan kedua-dua negara meningkat 12.9 peratus tahun lepas.



