MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin, pada Sabtu menyampaikan perutusan kepada rakyatnya, angkatan tentera dan perkhidmatan keselamatan, serta mereka yang “terlibat dalam pemberontakan bersenjata akibat ditipu dan diancam”.
“Saya merayu kepada rakyat Rusia, anggota angkatan bersenjata, agensi penguatkuasaan undang-undang, dan perkhidmatan khas, hingga kepada pejuang dan komander yang sedang bertempur di posisi tempur mereka, menangkis serangan musuh dengan semangat perwira.
“Hari ini saya berbicara lagi dengan komander dari setiap perbarisan.
Saya juga merayu kepada mereka yang ditipu atau diancam, yang terlibat dalam jenayah ini dan didorong melakukan pemberontakan bersenjata yang serius.
“Marilah kita mempertahankan rakyat dan negara daripada semua ancaman, termasuk pengkhianatan dalaman.
“Cita-cita yang melampau dan kepentingan peribadi telah mengakibatkan pengkhianatan terhadap negara, rakyat dan pejuang dan komander Kumpulan Wagner yang berjuang dan terkorban bersebelahan dengan unit dan pasukan kita yang lain,” kata Putin dalam perutusannya.
Beliau menyatakan bahawa semua persengketaan harus dihentikan ketika mana nasib rakyat Rusia sedang diputuskan dan menyatakan bahawa perpaduan semua ketumbukan adalah penting, lapor Sputnik.
“Perjuangan ini, ketika nasib bangsa kita sedang diputuskan, memerlukan perpaduan semua pasukan, penyatuan dan tanggungjawab, ketika segala yang melemahkan kita harus diketepikan, segala pertelingkahan dapat dimanfaatkan musuh luar dan digunakan untuk memusnahkan kita dari dalam,” kata Putin dalam perutusannya yang disiarkan di televisyen.
Angkatan bersenjata Rusia telah menerima arahan yang diperlukan untuk menghentikan pemberontakan bersenjata, dan dalang di sebalik kejadian akan dihukum, kata Putin.
“Semua individu yang dengan sengaja melakukan pengkhianatan, yang merancang pemberontakan bersenjata, yang mengambil jalan pengepungan dan kaedah-kaedah keganasan akan menerima hukuman,” kata Putin.
Presiden itu juga menyeru mereka yang “terlibat dalam jenayah ini untuk tidak membuat kesilapan yang membawa padah dan tragik dan membuat pilihan yang betul – iaitu tidak terlibat dalam tindakan jenayah,” katanya.
Putin berkata bahawa sebagai seorang warga Rusia, beliau akan melakukan segala yang mungkin untuk mempertahankan negaranya.
“Sebagai Presiden Rusia dan Panglima Tertinggi, sebagai seorang rakyat, saya akan melakukan segala yang mungkin untuk mempertahankan negara, melindungi perlembagaan, kehidupan, keselamatan, dan kebebasan rakyat.
“Langkah-langkah tegas juga diambil untuk menstabilkan keadaan di Rostov-on-Don.
Situasi masih rumit, dengan badan pentadbiran awam dan tentera dihalang secara efektif.
“Pahlawan-pahlawan yang membebaskan Soledar dan Artyomovsk (Bakhmut), bandar-bandar dan perkampungan di Donbas, berjuang dan mengorbankan nyawa mereka untuk Novorossiya, untuk penyatuan dunia Rusia.
“Nama dan kemuliaan mereka juga telah dikhianati oleh mereka yang cuba mengatur pemberontakan, mendorong negara ke arah kekacauan dan pembunuhan bersaudara,” kata Putin. – BERNAMA



