Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja serta membina keyakinan diri, memupuk keberanian dan menyemai nilai keprihatinan menerusi kempen kesedaran kanser payudara.
Berlangsung pada 10 dan 11 Oktober lalu, pertandingan ini mengetengahkan tema khas Kempen Pita Merah Jambu sebagai tanda sokongan usaha meningkatkan kesedaran kanser payudara, sekali gus mendidik generasi muda supaya lebih prihatin terhadap masyarakat.

Pengasas Razz Couture, Razie Ali atau lebih dikenali sebagai Razz Ali berkata, pertandingan berkenaan dirancang bukan semata-mata untuk mencari pemenang, tetapi turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah dan perkembangan potensi peserta.
Menurutnya, setiap kanak-kanak mempunyai keunikan dan kebolehan tersendiri yang wajar diberikan ruang untuk berkembang melalui pengalaman, bimbingan serta pendedahan kepada persekitaran baharu.
“Kami mahu mereka memahami bahawa keberanian mencuba, keyakinan diri dan nilai murni jauh lebih penting daripada sekadar memenangi pertandingan.

“Melalui tema Pita Merah Jambu, kami juga mahu menyemai sikap penyayang dan keprihatinan dalam kalangan generasi muda supaya mereka memahami kepentingan memberikan sokongan kepada individu yang berdepan dengan kanser payudara,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak selepas acara ratu cantik cilik di pusat beli-belah The Hills baru-baru ini.
Razz berkata, kelainan edisi Karlas terletak pada gabungan pembangunan bakat dan mesej sosial yang disampaikan menerusi aktiviti peragaan serta persembahan bakat.
Pertandingan itu dibahagikan kepada tiga kategori umur, iaitu Kategori A bagi peserta berusia lima hingga sembilan tahun, Kategori B (10 hingga 13 tahun) dan Kategori C (14 hingga 17 tahun).

Menurutnya, kriteria penilaian disesuaikan mengikut peringkat umur bagi memastikan setiap peserta diberikan peluang yang adil untuk menonjolkan kebolehan masing-masing.
Bagi peserta paling muda, penekanan diberikan kepada keberanian tampil di hadapan orang ramai, keaslian diri dan keseronokan menyertai aktiviti.
Sementara itu, peserta berusia 10 hingga 13 tahun dinilai berdasarkan keyakinan, gaya pembawaan diri, komunikasi dan kreativiti, manakala kategori remaja turut menitikberatkan kematangan, penguasaan pentas serta kualiti persembahan.

Razz berkata, peserta juga diberikan kebebasan memilih persembahan bakat mengikut minat dan kebolehan masing-masing, termasuk nyanyian, tarian, bercerita, silat, sajak, pidato dan berpantun.
Dalam pertandingan peragaan pula, aspek keyakinan dan karisma membawa pemberat tertinggi sebanyak 30 peratus, diikuti gaya berjalan atau catwalk (20 peratus).
Kriteria lain merangkumi pengenalan diri dan komunikasi (15 peratus), pakej keseluruhan dan aura (15 peratus), pakaian dan kreativiti (10 peratus) serta tatarias dan penampilan wajah (10 peratus).

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan peserta bukan sahaja menampilkan penampilan menarik, malah mampu berkomunikasi dengan baik, berdisiplin dan berani mengekspresikan diri.
Selain pembangunan bakat, penggunaan warna merah jambu turut menjadi simbol sokongan individu yang pernah menghidap kanser payudara, pesakit yang sedang menjalani rawatan serta keluarga dan penjaga mereka.
Menurutnya, pelibatan kanak-kanak dan remaja dalam kempen seumpama itu penting untuk membentuk generasi yang lebih peka terhadap isu kesihatan dan memahami bahawa sokongan masyarakat mampu memberikan semangat kepada mereka yang berdepan dengan cabaran penyakit.
Dalam pada itu, Razz berkata, ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan penyertaan anak-anak menjadi pengalaman yang positif tanpa tekanan untuk meraih kemenangan.

Katanya, pertandingan perlu dilihat sebagai ruang pembelajaran bagi meningkatkan kemahiran sosial, disiplin dan keyakinan, bukannya medan persaingan yang membebankan peserta.
Penyertaan pada yuran RM60 turut menyediakan sijil penyertaan, nombor peserta, tag nama, bimbingan asas peragaan, rakaman acara serta peluang menerima maklum balas daripada panel juri.
Pemenang dan peserta berpotensi juga berpeluang dipertimbangkan untuk menyertai acara fesyen, sesi fotografi promosi serta program pembangunan bakat anjuran Razz Couture dan rakan strategiknya.
Razz berharap Putra Putri Cilik Edisi Karlas dapat berkembang sebagai acara tahunan yang menghimpunkan lebih ramai peserta dari pelbagai daerah di Sarawak.

Beliau berkata, matlamat jangka panjang penganjuran itu adalah untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berbakat, tetapi turut memiliki keyakinan tinggi, disiplin dan kebanggaan terhadap identiti diri.
“Kami berharap platform ini terus membuka peluang kepada anak-anak Sarawak untuk mengembangkan potensi mereka, sambil belajar menghargai orang lain dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Bagi keputusan pertandingan, tempat pertama Kategori A dimenangi Muhd Irfan Hanif, diikuti Nurzaskia Mikhayla di tempat kedua dan Nur Dini Aiman di tempat ketiga.
Kategori B pula menyaksikan Nurqistina Batrisyia Samsudin muncul juara, manakala Nurdhamia Hasna Hasbullah meraih tempat kedua dan Nur Dini Arsyad di tempat ketiga.
Bagi Kategori C, Sarafina Arisya Jihel menduduki tempat pertama, diikuti Mettachan Yu Mei Yia di tempat kedua dan Mervelynersty Miszwana di tempat ketiga.




