Putus hubungan dengan Korea Utara tidak jejas ekonomi negara

ARAU: Tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia tidak memberi kesan kepada ekonomi negara ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, ini ialah kerana sumbangan daripada negara itu terhadap ekonomi Malaysia pada ketika ini adalah amat kecil.

“Saya rasa tiada impak, sebab kecil sahaja sumbangannya (kepada ekonomi negara),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program perjumpaan bersama pengusaha mangga harum manis Perlis di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada tindakan Korea Utara itu memberi kesan terhadap ekonomi negara.

Sementara itu, Tengku Zafrul mengulangi pendirian kerajaan untuk tidak memperkenalkan sebarang bentuk sistem percukaian baharu ketika ini, sebaliknya akan memberi tumpuan terhadap program pemulihan ekonomi bagi menjana hasil kepada negara.

Beliau menjelaskan kerajaan memang sedang membuat kajian ke atas semua bentuk sistem percukaian, namun, ia sekadar di peringkat kajian tanpa ada perancangan untuk dilaksanakan pada masa ini.

“Fokus kerajaan kini adalah untuk memulihkan ekonomi. Dari segi hasil memanglah terkesan kerana ekonomi kita terjejas disebabkan Covid-19 pada tahun lalu.

“Tapi tahun ini, Insyallah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita diunjurkan lebih kurang antara 6.5 hingga 7.5 peratus, ekonomi naik, hasil pun akan naiklah berbanding dengan tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, peruntukan bantuan khas berjumlah RM260 juta kepada semua kerajaan negeri yang diumumkan hari ini dijangka dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.

Beliau berkata menerusi peruntukan itu, setiap negeri akan disalurkan sebanyak RM20 juta dalam masa terdekat bagi melaksanakan projek-projek kecil khusus untuk kontraktor kelas G1 hingga G4.

“(Sebab) projek-projek kecil ini mempunyai kesan pengganda yang sangat tinggi, jadi ia sangat berkesan untuk rangsangkan ekonomi dengan lebih cepat,” kata beliau.

Suara Sarawak