QARI Sarawak, Hadi Mohd Sharkawi, mengharumkan nama negara apabila terpilih sebagai qari jemputan dalam Haflah India dengan membaca ayat suci al-Quran mengikut alunan taranum Malaysia.
Haflah atau konsert al-Quran peringkat kebangsaan India itu diadakan di empat daerah di Uttar Pradesh iaitu antara negeri populasi Islam di India.
Katanya, haflah dilakukan di negeri majoriti Islam dengan objektif utama adalah untuk memperkenalkan gaya bacaan al-Quran Malaysia.
“Majlis tilawah al-Quran kita (Malaysia) ada format kita. Kita ada gaya taranum, memang asal dari Mesir yang diperkenalkan oleh qari masyhur Mesir, tapi kita di Malaysia ada perwatakan bacaan sendiri,” jelasnya.
Haflah ini diadakan di Madrasah Darul Qiraat Ubay Ibnu Kaab di Moradabat, Madrasah Darul Ulum di Meerut, Universiti Muslim Aligarh di Aligarh dan Madrasah Darul Ulum di Hasanpur.
Program ini mendapat sambutan hangat dan dibanjiri ribuan hadirin sekitar Uttar Pradesh.
Berkongsi keterujaan, Hadi berkata, sambutan sangat menggalakkan daripada penduduk setempat walaupun program berlanjutan sehingga jam 3.00 pagi.
“Jemaah yang hadir di India sangat luar biasa.
Walaupun program sehingga jam 3.00 pagi, tetapi mereka masih ramai berkumpul seolah-olah konsert di stadium.
“Mereka setia menunggu sehingga habis dengan iringan takbir dan zikir,” katanya.
Jelasnya, dari segi persediaan, perkara utama adalah kesihatan dan kecergasan diri.
“Kita perlu jaga tidur, jaga makan, stamina dan fizikal harus dalam keadaan terbaik.
“Latihan suara, latihan bacaan al-Quran memang perlu ada sebab ia memainkan peranan dalam ketekalan persembahan – dari segi suara dan pernafasan,” jelasnya.
Justeru, Hadi berharap haflah sedemikian dapat diperbanyak di Malaysia amnya dan di Sarawak khususnya bagi memupuk budaya mencintai serta mendekati al-Quran.
“Ramai qari di Malaysia, tapi sebenarnya masih kurang qari dari Sarawak dijemput ke luar negara.
“Dengan adanya program sebegini, makin banyak haflah alQuran yang kita dapat anjurkan di Sarawak untuk meningkatkan lagi minat masyarakat umum and kita dapat cungkil bakat baharu dalam bidang al-Quran di Sarawak,” ujarnya.
Katanya sebagai motivasi, perkara pertama adalah minat dan mempunyai guru mengaji al-Quran.
Hadi ialah johan qari Sarawak untuk 2013, 2014, 2016, 2019, 2020 dan 2023.
Hadi pernah mewakili Malaysia ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa di Indonesia, di Thailand dan Brunei.





