KUCHING: Sejarah baharu tercipta dalam sukan tinju negara apabila Datuk Rahman Lariwoo diberi kepercayaan menerajui Persatuan Tinju Profesional Malaysia.
Persatuan yang baharu ditubuhkan itu bertujuan memperkukuh laluan petinju amatur untuk melangkah ke arena profesional.
Mesyuarat badan induk berkenaan baru-baru ini menyaksikan beliau mendapat sokongan majoriti daripada barisan Exco yang hadir, sekali gus menandakan bermulanya lembaran baharu dalam pembangunan sukan tinju profesional di Malaysia.
Rahman berkata objektif utama persatuan itu adalah mengenal pasti petinju amatur berbakat yang berpotensi menjadi petinju profesional serta menyediakan bimbingan dan peluang yang diperlukan untuk mereka terus berkembang.
“Objektif kami adalah mencari petinju daripada peringkat amatur yang berhasrat menjadi petinju profesional.
“Kami akan membimbing petinju dan membantu mereka melangkah ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya pada sidang media ringkas di Pusat Latihan Sementara Persatuan Tinju Amatur Sarawak (SABA), Petra Jaya, semalam.
Beliau berkata, ketika ini terdapat beberapa petinju amatur yang beralih ke arena tinju profesional, termasuk empat petinju dari Sarawak yang kini telah menyertai barisan petinju profesional.
Beliau menambah, persatuan itu akan berusaha mewujudkan laluan pembangunan yang lebih tersusun untuk petinju muda, khususnya mereka yang telah mencapai usia 21 tahun dan ingin meneruskan kerjaya dalam litar profesional.
“Kami mempunyai 14 pusat tinju di Sarawak, dan apabila atlet mencapai usia 21 tahun serta mahu menceburi tinju profesional, kami akan menggalakkan mereka dan menyediakan program bagi menyokong pembangunan mereka,” tambahnya.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Tinju Amatur Sarawak (SABA) berkata, pengalamannya mengurus pembangunan tinju amatur akan membantunya menyumbang kepada pertumbuhan tinju profesional di Malaysia.
Beliau juga membawa pengalaman di peringkat antarabangsa menerusi penglibatannya bersama World Boxing Council (WBC) Asia.
Dengan peranan baharunya itu, Rahman berharap dapat membina struktur tinju profesional yang lebih kukuh di Malaysia, di samping membuka lebih banyak peluang kepada petinju tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.






