Rahmat PKP, perluaskan pembelajaran secara maya

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu hingga 12 Mei depan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada masyarakat.

Banyak perkara yang tidak dapat dilakukan sepanjang tempoh tersebut, terutama aktiviti di luar rumah. Ia bukan sahaja memberi kesan dari segi ekonomi rakyat, tetapi juga emosi.

Mujurlah sekarang ini kita hidup dalam keadaan teknologi tanpa batas, membolehkan kita tidak terlalu bosan menghadapi hari-hari PKP, kerana teknologi menjadi teman sepanjang masa. Malah dunia pendidikan juga tidak pernah sepi sepanjang PKP.

Di Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) misalnya, yang menjadi perintis pembelajaran secara maya membuktikan keupayaannya menerusi Massive Open Online Courses (MOOC) yang kini mencecah lebih 170,000 pelajar dengan aktif menawarkan 538 kursus dalam pelbagai bidang.

Ia adalah pembelajaran secara sepanjang hayat, sepenuh masa, separuh masa dan kursus jangka pendek. MOOC ialah pemudah cara bagi pelbagai kaedah pembelajaran yang dilaksanakan di UiTM.

Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional UiTM (iCEPS) ialah pusat pembelajaran jarak jauh dan mengaplikasi pembelajaran atas talian melalui sistem yang dikenali sebagai iCLASS. S

ebagai pemudah cara bagi sistem universiti, iCEPS memperkenal pelbagai platform dan kaedah seperti sistem Ufuture dan Openlearning, bengkel secara atas talian berkaitan tatacara penggunaan pembelajaran dan pengajaran. Ia juga menghubung menerusi ‘livechat’ bersama-sama pasukan teknologi maklumat yang bekerja sepanjang masa secara dalam dan luar talian, bagi menjawab masalah pelajar dan pensyarah.

Melalui kaedah dan pendekatan maya yang UiTM lakukan itu, ia juga boleh diakses dari 176 negara di dunia, manakala melalui program Trans Nasional Education (TNE), iCEPS menawarkan program secara francais, khususnya kepada negara luar.

Sekarang ini Maldives, Mauritius, Mesir, Bosnia, Indonesia, Zanzibar dan Uzbekistan, sudah bersetuju melalui program TNE ini dan dalam proses menandatangani perjanjian dengan iCEPS untuk kursus seperti perhotelan, perakaunan, perniagaan dan sains komputer.

Yang pasti UiTM adalah perintis pembelajaran luar kampus melalui e-learning yang bergerak mengikut keperluan semasa industri; seiring dengan pembangunan teknologi sejak 1998 lagi. iCEPS bukan sahaja menawarkan program diploma, ijazah dan sarjana, malah turut menawarkan pelbagai kursus jangka pendek yang terkini dengan yuran yang rendah berbanding tempat lain.

Bagi kebanyakan universiti luar negara, pembelajaran secara maya bukanlah sesuatu yang asing, kerana ia telah pun bertapak sejak teknologi berupaya mengakses serata dunia.

Jadi, sesuai dengan peredaran zaman, sudah tiba masanya untuk Malaysia melaksanakan kaedah tersebut, yang bukan sahaja memudahkan, tetapi juga berkesan.

Ia akan dapat memberikan lebih fleksibiliti kepada para pelajar di mana saja mereka berada, pada bila-bila masa, tanpa terhad kepada kelas fizikal sebagaimana yang diterapkan dalam sistem konvensional.

Oleh itu, pembelajaran secara maya sekarang ini bukan lagi sebagai gaya atau pilihan, sebaliknya sebagai satu keperluan, terutama ketika bencana Covid-19 yang bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia, tetapi turut ‘merantai’ seluruh dunia.

Dengan adanya pembelajaran secara maya, maka ia akan membuka satu lembaran baharu kepada warga pelajar untuk keluar dari kepompong lama, bagi menikmati suasana pembelajaran kebiasaan baharu.