ARTIKEL

Rahsia cinta kekal lama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Selama tujuh dekad melayari bahtera rumah tangga, kisah cinta Tun Dr Mahathir Mohamad dan Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali membuktikan keutuhan hubungan bukan sekadar dibina atas dasar cinta, malah turut memerlukan kesetiaan, kesabaran dan toleransi.

Bermula sebagai dua penuntut bidang perubatan yang bertemu di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura, pada 1947, hubungan mereka berkembang daripada persahabatan kepada percintaan sebelum disatukan sebagai suami isteri pada 5 Ogos 1956.

Sepanjang 70 tahun bersama, pasangan itu tidak pernah menyembunyikan hakikat bahawa kehidupan berumah tangga tidak selalunya berjalan tanpa perbezaan pendapat.

Dalam satu hantaran video di saluran YouTube rasmi Dr Mahathir pada 2021 sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-65, Dr Siti Hasmah mengakui mereka pernah berselisih faham ketika usia muda.

“Ada kalanya kami bergaduh,” katanya sambil mengenang bagaimana mereka akan kembali berbaik dan meluangkan masa bersama dengan keluar makan.

Bagi pasangan yang melalui pelbagai fasa kehidupan bersama, perselisihan bukan penghalang untuk terus mempertahankan hubungan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada proses memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain.

Dr Mahathir pula pernah menjelaskan kasih sayang dalam rumah tangga mereka tidak semestinya dizahirkan melalui kata-kata romantis, sebaliknya melalui cara mereka melayan dan mengambil berat antara satu sama lain.

“Kami tidak pernah mengucapkannya dengan kata-kata. Ia lebih kepada cara kami melayan dan bertindak antara satu sama lain,” katanya.

Pandangan itu memperlihatkan selepas puluhan tahun bersama, kasih sayang boleh dizahirkan dalam bentuk yang sederhana, termasuk melalui perhatian, toleransi dan kesediaan untuk memahami pasangan.

Dr Mahathir turut menyifatkan toleransi sebagai antara asas yang membantu mereka mengekalkan keutuhan rumah tangga, selain belajar bersabar dengan perbezaan karakter antara satu sama lain, termasuk dalam perkara kecil seperti ketepatan masa.

Sementara itu, seiring dengan pertambahan usia, peranan Dr Siti Hasmah dalam kehidupan suaminya turut berkembang, termasuk menjadi antara individu yang banyak memberikan perhatian terhadap kebajikan dan kesihatan Dr Mahathir.

Beberapa minggu lalu, pasangan itu turut menerima pengiktirafan Asia Records sebagai bekas ketua kerajaan dan pasangan pertama yang mencapai usia 100 tahun ketika masih hidup, dengan jumlah usia mereka mencecah 201 tahun.

Pengiktirafan berkenaan hadir pada tahun yang sama ketika mereka meraiakan ulang tahun perkahwinan ke-70, sekali gus menjadikan kisah mereka antara contoh perjalanan hidup bersama yang panjang dan sarat dengan pelbagai pengalaman.

Lebih daripada angka tujuh dekad, kisah Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah membawa satu mesej yang dekat dengan kehidupan pasangan muda, iaitu cinta bukan hanya tentang bagaimana sebuah hubungan bermula, tetapi juga tentang bagaimana dua insan terus memilih untuk memahami, bertolak ansur dan setia mendampingi satu sama lain ketika berdepan perubahan zaman.

Daripada dua penuntut perubatan yang bertemu ketika muda, mereka akhirnya membina kehidupan bersama selama 70 tahun, membuktikan dalam perkahwinan, kasih sayang mungkin menjadi permulaan, tetapi kesetiaan dan toleransi membantu hubungan terus bertahan.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU

Jalan Balingian-Sungai Anak perlu dinaik taraf

KUCHING: Penyelenggaraan, kerja naik taraf serta penyambungan pembinaan Jalan Persekutuan Balingian–Sungai Anak yang menghubungkan rangkaian Jalan Pan Borneo perlu diberikan perhatian serius, kata ADUN Balingian