Tajuk buku: The Power of Habit (Edisi Bahasa Melayu)
Nama penulis: Charles Duhigg
Penerbit: PTS Publishing House Sendirian Berhad
Tahun terbitan: 2020
ISBN: 978-967-481-557-8
Jumlah halaman: 504
Harga: RM40.00 (Semenanjung Malaysia) / RM43.00 (Sabah/Sarawak)
Pengulas: Eleesya Rima
DALAM kehidupan seharian kita, istilah kebiasaan sering memainkan peranan pen-ting tanpa kita sedari.
Ramai antara kita menjalani rutin harian tanpa banyak berfikir, namun perbuatan yang dilakukan secara berulang inilah yang membentuk corak kehidupan serta mempengaruhi keputusan dan kejayaan kita, sama ada secara sedar atau tidak.
Perubahan kecil dalam tabiat kita mampu membawa kesan besar dan berpanjangan dalam kehidupan, sama ada dari segi kesihatan, kerjaya, mahupun hubungan sosial.
Oleh itu, penting untuk kita memahami cara kebiasaan terbentuk dan bagaimana ia boleh diubah sebagai kunci utama peningkatan kualiti kehidupan dan kejayaan peribadi.
Buku The Power of Habit, karya Charles Duhigg yang diterbitkan dalam edisi bahasa Melayu ini merupakan karya bermakna kerana mampu membuka mata pembaca tentang bagaimana kebiasaan membentuk hampir separuh daripada tingkah laku seharian kita.
Keistimewaan buku ini ialah ia mendedahkan panduan ilmiah yang mendalam dengan cara penyampaian yang mudah difahami dan penuh inspirasi.
Hal ini menjadikan bacaannya sangat relevan kepada sesiapa sahaja yang berminat meningkatkan kualiti hidup.
Salah satu aspek utama yang menjadikan buku ini bernilai adalah penerangan mengenai struktur kebiasaan yang terdiri daripada tiga ciri penting, iaitu isyarat, rutin dan ganjaran.
Model inilah yang membantu dalam pembentukan kitaran kebiasaan serta membantu pembaca memahami alasan sesuatu tindakan atau perbuatan boleh berubah menjadi kebiasaan secara automatik yang sukar diubah.
Dengan mempelajari dan memahami ketiga-tiga ciri ini, pembaca boleh mengenal pasti isyarat yang menggerakkan kebiasaan serta cara untuk mengubah rutin sambil memastikan ganjaran yang diperoleh tetap memuaskan demi membentuk kebiasaan yang lebih positif.
Buku ini turut menampilkan pelbagai contoh nyata daripada kehidupan individu, organisasi dan syarikat bertaraf antarabangsa.
Kisah kejayaan ini mampu mengubah kebiasaan buruk kepada kebiasaan yang lebih baik dan memberi harapan serta motivasi kepada pembaca untuk mula mengambil langkah perubahan drastik dalam kehidupan mereka.
Misalnya, Charles Duhigg menceritakan bagaimana syarikat antarabangsa terkenal seperti Starbucks dan Procter & Gamble menggunakan konsep kefahaman mengenai kebiasaan untuk memperbaiki prestasi dan budaya kerja.
Selain itu, penulisan buku ini tidak bersifat dramatik atau memaksa pembaca melakukan perubahan secara radikal.
Penulis hanya menekankan bahawa perubahan kecil dalam kitaran kebiasaan sudah mencukupi untuk memulakan transformasi berterusan, dengan syarat mengekalkan elemen isyarat dan ganjaran yang sedia ada.
Buku ini turut menggambarkan sikap keprihatinan penulis terhadap pembaca yang mahu berusaha memperbaiki diri dengan menjadikan mereka berasa tidak terbeban tetapi berdaya untuk mengubah tabiat negatif yang sering menjadi halangan besar dalam proses perubahan diri.
Walaupun buku ini mengandungi kajian psikologi dan neurologi sebagai asas ilmiah, penulis berusaha menjelaskannya dengan bahasa yang mudah difahami dan tidak terlalu teknikal kepada pembaca.
Hal ini menunjukkan buku ini bersifat mesra pembaca.
Selain itu, penulis memastikan buku ini relevan kepada semua pembaca, tidak kira daripada latar belakang profesional, akademik mahupun korporat, dengan menggabungkan cerita menarik, data saintifik dan panduan praktikal yang menjadikannya sebuah rujukan ilmu yang luas dan inklusif.
Fakta menarik mengenai buku ini ialah ia turut membawa pembaca menelusuri peranan kebiasaan dalam konteks kolektif, khususnya dalam budaya organisasi dan masyarakat secara keseluruhan.
Penulis menunjukkan bahawa kebiasaan dalam sesebuah korporat dan komuniti dapat diubah untuk mencapai hasil besar, misalnya memajukan prestasi syarikat atau mengubah sikap sosial.
Perspektif ini memperluas aplikasi buku ini, bukan sekadar untuk perubahan peribadi, tetapi juga perubahan sosial yang lebih luas.
Dengan adanya buku yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, pembacaan masyarakat yang berminat untuk memahami konsep dan teknik pengurusan kebiasaan menjadi lebih mudah tanpa halangan bahasa.
Secara keseluruhannya, The Power of Habit bukan sahaja menerangkan teori semata-mata, malah turut dibekalkan panduan praktikal yang memudahkan pembaca tergerak hati memulakan langkah pertama yang nyata untuk mencapai matlamat secara sistematik dan pembaharuan diri yang lebih sihat untuk tubuh dan minda.
Akhir sekali, pengajaran yang diperoleh daripada buku ini adalah perubahan kecil dalam tabiat harian yang mampu membentuk kehidupan peribadi yang lebih produktif dan bermakna tanpa penyesalan.



