ARTIKEL

Rahsia menjadi luar biasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Nama buku: Rahsia Kebiasaan Orang Berjaya

Penulis: Mejar (B) Mohammad Qayyum

A.Badaruddin

Penerbit: casamas Resourses Sdn Bhd

Pencetak: Firdaus Press Sdn Bhd

Tahun: 2022

Harga: RM27

BUKU bertajuk Rahsia Kebiasaan Orang Berjaya yang ditulis oleh Mejar (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin — karya penulis yang aktif dalam dunia penulisan buku motivasi sejak 26 tahun lalu.

Penerbit menerbitkan 215 buku. Penulis buku berusia 57 tahun ini pernah berkhidmat sebagai penembak tepat (sniper) tentera dan bersara pada 2000.

Beliau pernah terlibat dalam operasi di sempadan MalaysiaThailand dan di pulau-pulau di Sabah; berkhidmat sebagai pegawai latih di Institut Pengurusan Tentera Darat, pegawai tadbir Pasukan Udara Tentera Darat, pegawai operasi di Markas 8 Briged Kelantan, jurulatih di Pusat Perang, serta pegawai operasi dan latihan di Markas Logistik Tentera Darat.

Selain itu, Qayyum juga pernah terlibat dalam misi kemanusiaan sebagai Pengarah Sukarelawan Majlis Perundingan Islam Malaysia di Gaza, Mesir dan dalam negara.

Selepas bersara, beliau mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan menerusi penerbitan buku pertamanya bertajuk Menyebak Deru Salju.

Beliau turut menyampaikan lebih 5,300 ceramah motivasi, satu pencapaian luar biasa bagi seorang pesara tentera.

Buku motivasi terbaharunya merupakan cetakan kedua dengan pendekatan lebih menarik apabila dicetak berwarna-warni, namun masih mengekalkan gaya profesional bagi menarik minat pembaca, khususnya dalam kalangan belia.

Buku setebal 148 halaman ini mengandungi isi yang padat tentang rahsia kebiasaan orang berjaya.

Penerbitan buku kali ini memfokuskan kepada kepentingan menjadi individu yang berjaya dalam kehidupan, motivasi diri untuk terus berusaha, serta beberapa contoh tokoh belia yang berjaya hingga mencapai kekayaan.

Pada bahagian awal buku ini, penulis menyenaraikan lima tabiat individu yang sangat berjaya dan tujuh perkara yang menghalang seseorang daripada mencapai kejayaan

. Buku ini disusun dalam bentuk soal jawab, seolah-olah penulis sedang berinteraksi secara langsung dengan pembaca bagi membuka minda mereka.

Salah satu topik yang menarik perhatian ialah amalan individu luar biasa berjaya.

Topik ini menarik perhatian kerana secara teorinya, setiap perancangan biasanya mempunyai pelan B, C, atau seterusnya untuk memastikan matlamat dapat dicapai.

Namun begitu, penulis menjelaskan bahawa individu yang benar-benar luar biasa berjaya tidak menyediakan pelan B, kerana pelan alternatif tersebut boleh menyebabkan mereka berasa terlalu selesa dan hilang tumpuan terhadap rancangan utama.

Sebaliknya, individu berjaya akan memberikan komitmen sepenuhnya tanpa sebarang jaminan keselamatan, dan hal ini memaksa mereka bekerja dengan lebih keras untuk mencapai matlamat.

“Anda tidak boleh menjadi luar biasa hebat dalam segala hal kecuali dengan mengerahkan usaha yang luar biasa dan fokus,” demikian antara ayat yang ditulis oleh penulis yang mampu menjentik hati pembaca.

Selain itu, individu yang berjaya memiliki sikap suka membantu orang lain untuk turut sama mencapai kejayaan, serta sentiasa meletakkan kepercayaan kepada Sang Pencipta yang menjadi sumber utama kejayaannya.

Penulis turut menyatakan bahawa individu yang hebat akan berkongsi idea bernas kepada orang lain dengan matlamat untuk membantu lebih ramai mencapai kejayaan.

“Jangan pernah malu untuk berusaha dan merasai kepahitan kegagalan, serta kongsikan kemanisan kejayaan,” katanya. Dalam pada itu, penulis turut menyenaraikan kisah tiga tokoh dunia yang berjaya setelah menakluki kegagalan mereka.

Tiga tokoh tersebut ialah Arianna Huffi ngton, yang pernah ditolak sebanyak 36 kali oleh penerbit sebelum bukunya akhirnya diterbitkan pada cubaan kali ke-37 dan mendapat sambutan hangat daripada pembaca.

Selain itu, Bill Gates juga pernah menyaksikan sendiri kegagalan perniagaannya, namun beliau bangkit semula dan akhirnya menjadi antara individu terkaya di dunia.

Walt Disney pula pernah dianggap tidak kreatif dalam penciptaan watak animasi dan mengalami masalah kewangan yang serius. Namun begitu, beliau menemukan titik kejayaan apabila bergabung dengan industri perfi leman Hollywood.

Tanpa ketiga-tiga tokoh hebat ini, mungkin kita tidak akan mengenali terbitan HuffPost, menggunakan Microsoft dalam pekerjaan harian, atau menikmati hiburan animasi yang mewarnai zaman kanak-kanak kita.

Secara kesimpulannya, saya memperoleh pengajaran penting daripada buku ini, iaitu kejayaan seseorang bukan hanya diukur berdasarkan kekayaan yang dimilikinya, tetapi juga dalam pelbagai aspek kehidupan.

Antaranya ialah kejayaan dalam aspek kerohanian, kewangan, kekeluargaan, kesihatan dan sosial.

Individu yang berjaya tidak mudah berputus asa dan sentiasa berfi kiran positif dalam mencapai matlamat hidup.

Bagi penggemar buku motivasi, karya ini amat sesuai untuk dibaca bagi membangkitkan semangat, khususnya dalam bidang kerjaya dan perniagaan.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU