BINTULU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganjurkan sambutan Hari Pekerja Pelancongan 2026 menerusi Festival Muzik Air pada 30 April hingga 2 Mei depan di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, festival bertemakan alam semula jadi dan hutan hujan itu akan menggabungkan elemen muzik, seni interaktif serta pelbagai aktiviti menarik bagi mewujudkan suasana perayaan sekali gus menarik kehadiran pelancong ke destinasi terpilih.
Menurutnya, penganjuran festival berkenaan selaras dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dan Hari Pekerja, selain menjadi platform penghargaan kepada warga industri pelancongan negara.
“Festival Muzik Air bukan sahaja meraikan tenaga kerja dalam industri pelancongan, malah memberi peluang kepada rakyat Malaysia serta pelancong antarabangsa menikmati keindahan alam semula jadi sambil menyertai aktiviti interaktif yang menyeronokkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam ‘Belia Dinamik: Malam Penerbangan’ anjuran Pergerakan Pemuda Parti Demokratik Progresif (PDP) Tanjung Batu di sini, malam kelmarin.
Tiong, yang juga Presiden PDP dan Ahli Parlimen Bintulu turut menyeru pelibatan semua pihak termasuk organisasi belia, komuniti setempat serta sektor swasta bagi menjayakan festival berkenaan dan memastikan sambutan TMM 2026 mencapai sasaran ditetapkan.
Beliau menegaskan pelibatan golongan belia amat penting kerana mereka bukan sahaja menjadi tenaga penggerak pembangunan pelancongan, malah pemacu inovasi dan kreativiti dalam menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.



