ARTIKEL

Raja buah gred A

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MINGGU lepas rakan sepejabat, Ngumbang Rangga memberi lima biji durian kampung kepada saya.

Katanya, ia durian dari dusun keluarganya di Roban, 312 kilometer dari bandar raya Kuching. Bersaiz sederhana, serta sangat enak dan isinya lunak, hampir setanding musang king.

Mujurlah saya turut membeli empat ikat daripada beliau yang harganya RM25 seikat (tiga biji). Isinya putih melepak bagaikan kertas A4, ada juga yang kekuningan seperti mentega.

Yang pasti, kesemua 17 biji sempurna… dengan isi tebal dan biji agak kecil.

Menurut pemilik, ia kerana pokoknya yang sudah pun berusia lebih 50 tahun, mampu mengeluarkan buah bermutu tinggi.

Menurut Ngumbang, kebetulan beliau balik kampung, dan membawa sedikit untuk oleh-oleh dan dijual kepada rakan-rakan di Kuching, dengan harga murah.

“Sekarang tengah musim gugur… banyak buah sudah dikutip.

Kebanyakannya disedekahkan kepada penduduk sekitar, kerana di Roban, ketika musim buah banyak, tidak ada orang yang membeli, kecuali pengunjung dari luar.

Kadang-kadang ia terbuang begitu sahaja,” katanya.

Menurut kebanyakan peraih, tahun ini merupakan ‘musim durian runtuh’ (buah banyak).

Biasanya musim tersebut hanya tiba sekali dalam tempoh tiga hingga tahun.

Limpahan buah yang dijual di tepi jalan, perhentian bas atau di pekarangan pasar raya, menyebabkan harganya merudum, sehingga hanya RM2 sebiji.

Ia dijangka berlanjutan hingga Januari 2025. Di pasar Tamu Demak Laut, Kuching misalnya, sebiji dijual pada harga RM2.50 dan yang paling mahal RM8.

Bagi ‘hantu durian’ inilah musim yang ditunggu-tunggu, boleh menikmatinya dengan banyak tanpa membocorkan poket. Ia habis dalam sekelip mata.

Menurut penjual, mereka telah pun menjual sebanyak 15,000 biji sejak seminggu yang lalu.

Yang pasti buah bersaiz sederhana yang berharga RM7 hingga RM15 sebiji menjadi pilihan kerana isinya terjamin baik.

Bagi penggemar tegar, harga perkara kedua… janji isi bagus dan memuaskan.

Kalau nak harga yang lebih murah dan segar, kunjungilah pekan Lachau, 141 kilometer dari Kuching, hanya lebih sejam perjalanan, melalui Lebuh Raya Pan Borneo, belilah secara pukal… lagi murah.

Misalnya RM200 dapat 50-70 biji pelbagai saiz. Ini bermakna secara purata hanya RM3 sebiji.

Kebanyakan durian di sini masih segar dan dijual oleh pemilik dusun sendiri.

Ketika harga yang agak murah sekarang ini, tidak perlulah terlalu tawar-menawar, kerana kerja mengutip buah bukan mudah.

Saya pernah tiga kali mengikut pemilik durian ke dusun.

Ia mengambil masa lima hingga enam jam berjalan kaki dan menaiki bot, bergantung kepada lokasi dusun dan cuaca.

Kami meredah hutan belantara sebelum tiba di dusun, cuaca baik memudahkan perjalanan.

Sangat menyeronokkan apabila melihat buah jatuh bertebaran, sambil mengutip dan memasukkannya ke dalam bakul besar atau tambok, yang disandar.

Kami juga sempat menikmatinya.

Biasanya buah yang baru jatuh rasa segarnya luar biasa.

Namun mengandar bakul besar yang berisi durian sambil berjalan di dalam hutan cukup memenatkan dan memerlukan stamina… jika tidak anda pasti tersungkur.

Menurut pemilik dusun, keadaan lebih sukar apabila kebun berada di kawasan berbukit, atau jauh di dalam hutan.

Ada yang turun ke dusun ketika masih kegelapan, sekitar jam 4 pagi semata-mata untuk mengutip buah untuk dijual sekitar jam 10 pagi.

Namun musim buah yang banyak menyebabkan harga turun, dan pemilik tiada pilihan, kecuali menurunkan harga, jika tidak ia terbuang begitu sahaja.

Oleh itu, pengeluaran buah yang sederhana membolehkan harga stabil, tidak terlalu mahal dan tidak pula terlalu murah, kebanyakan orang mampu membelinya.

DURI HITAM RM450 SEBIJI

Jika di Semenanjung Malaysia ada pelbagai gelaran terhadap raja buah ini, dan harganya mengikut status dan gred.

Oleh itu, durian sebagai ‘lubuk emas’ bagi pengusaha dan peraih.

Jika dulu spesies musang king yang berada di tangga teratas carta, tetapi kini takhtanya sudah pun dirampas spesies duri hitam.

Jika harga musang king sekitar RM70 hingga RM85 sekilogram, duri hitam pula mencecah RM100 hingga RM130 sebiji.

Namun harga juga bergantung kepada pengeluaran dan permintaan.

Beberapa lagi spesies lain seperti udang merah, kunyit, sultan, D24, yang harganya sekitar RM30 hingga RM50 sekilogram.

Turut berada di pasaran ialah Tupai King, Tekka, Golden Phonix, XO, D101, Black Pearl, D13 dan D17.

Yang pasti, duri hitam menjadi buruan ramai kerana rasanya yang lain daripada yang lain, lebih enak daripada musang king. Malah ada yang sanggup berbelanja besar, demi kepuasan.

Di Balik Pulau, Pulau Pinang misalnya, duri hitam bersaiz besar, sekitar lebih tiga kilogram berharga RM450 sebiji.

Mungkin pengusaha dusun di Sarawak perlu juga mencipta nama untuk durian lokal atau kampung ini, berdasarkan gred masing-masing.

Misalnya durian Padawan, Taee, Roban atau Pasir Pandak. Ia perlu dilakukan demi identiti dan nilai tambah si raja buah ini. Ia kerana terdapat varieti yang sangat enak, namun tidak mempunyai nama.

Ia perlu mempunyai jenama sendiri bagi mengangkat martabat durian Bumi Kenyalang. Siapa tahu ada spesies terbaik, yang mampu mencabar reputasi duri hitam atau musang king?

Pokok yang menghasilkan varieti terbaik perlu dipulihara atau proses hibrid dengan spesies sesuai.

Oleh itu penyelidikan dan pembangunan harus dilakukan dari semasa ke semasa terhadap durian lokal ini bagi mengekalkam kualiti mahupun kuantiti.

Menurut salah seorang penjual durian di Kuching, yang dikenali sebagai Joep, durian Sarawak juga popular dalam kalangan penggemar dari Semenanjung.

“Kalau orang Semenanjung ke sini, biasanya mereka mencari durian kampung, yang pokoknya berusia lebih 30 tahun ke atas.

Biasanya ia mengeluarkan buah yang sempurna, bukan sahaja dari segi tekstur isi (lunak), tetapi juga aroma dan rasa yang luar brasa,” katanya. Rasanya yang sedikit pahit, tetapi banyak manisnya, amat digemari ramai.

Ia kerana pokok yang telah berusia (lebih 30 tahun) mempunyai akar yang menjalar jauh ke dalam tanah, sekali gus mudah mendapatkan nutrien untuk pertumbuhan pokok dan buah. Ini tidak berlaku pada pokok yang baru berusia lima hingga 15 tahun,” ujar Joep.

Sebagai pembekal utama pes durian kampung ke Kuala Lumpur serta China, sejak 2019, Sarawak mempunyai masa depan cerah, dalam pasaran durian.

Kewujudan rantaian pasaran bukan sahaja membantu petani terutama di luar bandar untuk meraih pendapatan lumayan, malah mencapai sasaran Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan menjelang 2030.

Durian yang dijadikan pes dibeli daripada penduduk di sekitar Padawan, Bau, Serian, Simunjan dan Betong sebelum diproses menjadi pes untuk digunakan bagi menghasilkan produk makanan berasaskan buah berkenaan, seperti aiskrim, kek dan biskut.

Yang pasti, durian merupakan antara empat tanaman popular di Sarawak yang dikenal pasti sebagai berpotensi untuk kegunaan sendiri dan dieksport, selain kelapa, nanas dan pisang.

Pada masa akan datang, Sarawak bukan hanya dikenali sebagai antara jelapang padi di Malaysia, tetapi juga pengeluar durian bermutu tinggi, setanding duri hitam dan musang king.

BERITA LAIN

Hajat belum ternoktah

DUA kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan awal Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) pastinya bukan permulaan yang diharapkan Kuching City FC, namun perjalanan The

BERITA TERBARU

16 pasukan bertanding, Akademi SJN muncul juara

KUCHING: Akademi SJN dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 kategori Bawah 12 Tahun (B-12) selepas menewaskan Akademi Nexus 2-1 pada