WALAUPUN mempunyai gambar digital, namun masih ramai yang mahukan gambar berbingkai yang boleh digantung di dinding ruang tamu rumah.
Ia akan dijadikan kenangan untuk tatapan masa akan datang.
Selain lokasi tumpuan awam seperti taman yang sentiasa menjadi pilihan untuk sekeluarga bergambar, studio fotografi juga mampu memberi pilihan tersendiri untuk mengabadikan gambar keluarga.
Sebelum ini, kita hanya menganggap sesi fotografi hanya pada perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Gawai dan sebagainya.
Sentiasa ada gambar dirakam dan akan disimpan kemas dalam album.
Namun senario kini berbeza.
Ramai yang mahukan foto mereka diabadikan dengan lebih menarik mengikut tema dan cita rasa yang pelbagai. Jadi perlu mengupah jurugambar profesional.
Di Metrocity Kuching, Wonder Art Studio dengan kerjasama Scene & Co baru-baru ini mempersembahkan projek kreatif mereka berdasarkan perayaan yang menampilkan tema Riang Raya 2024.
Jurugambar dan pengasas Wonder Art Studio yang pernah dikenali sebagai Leaf and Art sebelum ini, Nas Hamdan, 34, berkata, mereka mahu menggamit semula nostalgia dan gaya zaman dahulu agar generasi moden mengenali suasana sambutan raya ketika itu.
“Setiap tahun kami menawarkan tema yang berbeza.
Tahun ini kami bermain dengan konsep retro 80-an hingga 90-an untuk menghidupkan semula kenangan dulu-dulu,” katanya.
Menurutnya, konsep idea bermula daripada pengalaman peribadinya melihat koleksi barang antik yang dijual di kedai rakannya.
Barang antik yang jarang ditemui itu mendorongnya untuk menggabungkan unsur retro — zaman moden dan lama.
“Saya tertarik dengan barang antik yang dijual. Dari situ saya merancang untuk mengangkat tema retro lalu berbincang dengan kumpulan saya,” kongsi Nas kepada Suara Sarawak.
“Pelanggan juga boleh melihat barang antik seperti basikal zaman P Ramlee, piring hitam, kerusi rotan, kamera sebelum zaman kemerdekaan dan banyak lagi,” jelas jurugambar yang berpengalaman 12 tahun itu.
Dalam pada itu, Nas bersyukur dengan respons positif pelanggan sehingga terpaksa balik lewat malam untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Alhamdulillah, maklum balas pelanggan sangat memberangsangkan… mereka sangat gembira disajikan dengan kelainan.
“Mereka juga mengetahui pakaian yang sesuai untuk dikenakan mengikut susunan dalaman studio… ada juga yang datang semula membuat penggambaran di sini,” katanya.
Jelasnya, meskipun tiada perbezaan dengan studio lain, namun Nas dan kumpulannya percaya dapat membuktikan keistimewaan melalui konsep retro sehingga mampu menarik minat pelanggan.

Dengan sentuhan cahaya ambien yang menenangkan dan penyediaan ruang solat, Wonder Art Studio bukan sekadar studio, tetapi destinasi nostalgia yang tidak akan dilupakan terutamanya semasa perayaan.
Sesiapa sahaja yang benar-benar menghargai kenangan pasti mahu merakam sekeping foto di studio fotografi ini untuk mengimbau memori bersamasama orang yang disayangi.



