KUCHING: Seramai 100 peserta disasarkan menyertai program Rakan Litar – Moto Cub Track Day 2026 di Litar Go Kart Permyjaya, Miri pada 6 September ini bagi memberi pendedahan kepada golongan belia cara tunggangan motosikal kapcai secara selamat dan terkawal.
Program yang berlangsung dari 10 pagi hingga 4 petang itu terbuka kepada peserta berusia 18 tahun ke atas yang sihat tubuh badan, manakala penyertaan adalah percuma dan terhad.
Pengerusi Kelab Sukan Bermotor Desa Indah, Hardy Ahmad berkata, penyertaan golongan muda amat digalakkan supaya program berkenaan dapat menjadi platform mengenal pasti bakat baharu dalam sukan permotoran.

“Harapan saya supaya lebih banyak program sukan permotoran dapat diadakan, terutama untuk golongan belia,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Program berkenaan dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBS) dengan kerjasama Kelab Sukan Bermotor Desa Indah.
Hardy berkata, kesinambungan penganjuran program permotoran penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk menceburi bidang berkenaan secara teratur.
“Kalau boleh, Cub Prix Sarawak dikembalikan dan begitu juga sukan ‘drag’ yang menjadi antara kegemaran belia dan remaja sekarang.
“Harapannya kita dapat teruskan sukan permotoran dan kekalkan penganjuran acara seperti ini bagi misi mencari bakat belia atau anak muda untuk masa depan,” katanya.
Tambahnya, setakat ini seramai 66 peserta dikenal pasti menyertai program berkenaan, membabitkan 15 pendaftaran dalam talian, 41 peserta dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri dan 10 peserta dari ADTEC JTM Kampus Miri.
Program ini turut dikendalikan empat jurulatih iaitu Hasmari Gunari, Addif Dominic Fabian, Mohammad Abdillah Yaman dan Abdul Azmi Mohamad Idris.





