BETONG: Rakyat akan mengenang kelantangan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing dalam menyuarakan hak masyarakat Dayak terutama melibatkan pendidikan, agama dan perpaduan.
Ketua Pergerakan Pemuda PBB, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata Sarawak kehilangan tokoh politik, anak jati dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sangat dekat dengan rakyat.
“Mendiang sememangnya seorang yang lantang menyuarakan pendapat beliau terutamanya bagi kebaikan masyarakat Dayak khususnya melibatkan aspek pendidikan, agama dan perpaduan rakyat,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Adun Layar itu turut menyifatkan Masing seorang yang peramah dan senang bersama rakyat.
“Saya sendiri akui sangat dekat dengan beliau dan biasanya kalau saya berada di Kapit memang dijemput bersarapan pagi bersama beliau di rumahnya.
“Saya berterima kasih kerana sebagai Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, beliau senang dihubungi untuk memastikan pembangunan dan pembaikan rangkaian jalan raya terutamanya di Dun Layar berjalan lancar.
“Terima kasih Tan Sri James, jasamu sentiasa dalam ingatan rakyat Sarawak,” tambahnya.
Rentap merakamkan salam takziah kepada isteri mendiang, Puan Sri Dato Corrine dan ahli keluarga.





