MUKAH: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak membuka ruang kepada rakyat memilih wakil rakyat yang mampu memperjuangkan kepentingan mereka serta meneruskan pembangunan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Tinjauan Suara Sarawak mendapati orang awam berharap proses pilihan raya berlangsung lancar, selain calon yang dipilih mampu mengutamakan kebajikan rakyat, meningkatkan kemudahan asas dan menangani isu setempat.

Bagi Nur Mazlin Mazlan, 27, pembubaran DUN merupakan proses demokrasi yang memberi peluang kepada rakyat memilih pemimpin yang mampu membawa suara dan merealisasikan aspirasi mereka.
“Kerajaan yang memimpin negeri ketika ini mempunyai peluang yang baik berdasarkan rekod pentadbiran dan usaha pembangunan yang telah dilaksanakan.

Saya berharap pilihan raya berjalan lancar serta menghasilkan kepimpinan yang terus mengutamakan kebajikan rakyat dan kemajuan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Azro Zain, 43, berharap PRN akan datang melahirkan pemimpin yang amanah, bertanggungjawab dan mengutamakan kepentingan rakyat, khususnya dalam memastikan pembangunan di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan.

Beliau berharap rakyat membuat pilihan berdasarkan prestasi dan kemampuan calon, selain memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam suasana aman.
Mohamad Azman Sidek, 33, pula berpandangan pembubaran DUN memberi peluang kepada rakyat memilih pemimpin baharu dan menjangkakan lebih ramai calon baharu akan diketengahkan pada PRN kali ini.
Bagi Adi Rusli, 32, pembubaran DUN memberi ruang kepada rakyat menilai kepimpinan serta memilih wakil rakyat yang mampu memperjuangkan kepentingan mereka dan meneruskan agenda pembangunan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau berharap isu pembangunan, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kemudahan asas, terutama di kawasan luar bandar dan pesisir, terus diberikan perhatian demi kesejahteraan rakyat.




