Rakyat jadi duta pelancongan

KUCHING: “Kalau bukan orang Sarawak sendiri yang mempromosi keindahan Bumi Kenyalang, siapa lagi?”

Menurut Fatin Aina Zawani Jais, 23, berasal dari Kuching, rakyat Sarawak tidak dapat terlalu bergantung kepada pihak media untuk mempromosikan Sarawak.

Hal ini katanya, kerana kebanyakan media hanya fokus kepada hutan tebal dan rumah panjang apabila mempromosikan Sarawak.

“Tidak hairanlah mengapa masih ada segelintir orang luar masih menganggap penduduk Sarawak tinggal di atas pokok.

“Tidak dinafikan Sarawak sangat terkenal dengan keindahan alam sekitar seperti hutan. Namun, terdapat banyak lagi tempat menarik yang dapat dilawati, selain hutan di Sarawak ini,” jelasnya.

Sektor pelancongan di Sarawak secara tidak langsung memainkan peranan penting bagi meningkatkan sektor ekonomi negara.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, dalam tempoh Januari hingga Mac lalu, Sarawak menerima kemasukan seramai 1,117,843 pelawat.

Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 3.93 peratus berbanding 1,075,560 bagi tempoh sama pada 2018.

Oleh itu, rakyat Sarawak secara tidak langsung berperanan sebagai duta kecil dalam mempromo- sikan Sarawak kepada orang luar atau pelancong.

Tambah Fatin, salah satu kaedah untuk mempromosikan Sarawak adalah melalui pelbagai program yang menarik.

“Program yang menggabungkan budaya moden dan tradisional mampu menarik perhatian lebih ramai pelancong.

“Sebagai contoh program Rainforest Fringe yang diadakan baru-baru ini.

“Melalui program tersebut, pelancong dapat menerokai keindahan kepelbagaian adat dan budaya penduduk tempatan di Sarawak,” ujarnya.

Khairunnisa Nadiah Yusuf, 23, juga dari Kuching bersetuju setiap rakyat Sarawak memainkan peranan penting sebagai duta kecil mempromosikan Sarawak kepada pelancong.

“Kita sebagai penduduk tempatan mampu meyakinkan orang luar secara bersemuka dengan lebih mendalam untuk datang ke sini.

“Sebagai contoh, pelajar Sarawak yang belajar di luar Sarawak, mereka dapat berkongsi budaya, adat, dan keindahan yang terdapat di Sarawak kepada rakan-rakan mereka.

“Selain itu, mereka juga dapat memberi cadangan dan membawa rakan-rakanya bercuti di Sarawak. Secara tidak langsung, perkara ini dapat membawa semakin ramai pelancong melawat ke Sarawak,” jelasnya.

Kemudahan di kawasan pelancongan atau tempat menarik di Sarawak perlu diperbaiki dan ditambah agar memudahkan pelancong untuk menggunakan kemudahan awam.

“Setiap rakyat perlu bekerjasama mempromosikan Sarawak melalui video atau laman sosial bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Kita perlu memandang serius terhadap sektor pelancongan di Sarawak kerana secara tidak langsung, sektor ini akan membuka peluang pekerjaan dan menaikkan ekonomi terutama bagi industri kraf tangan, makanan tradisional dan kawasan bersejarah,” ujarnya.

Mujjahidin Ramli, 35, dari Mukah menyatakan rakyat Sarawak, seharusnya membantu sektor pelancongan untuk mempromosikan Sarawak menjadi destinasi pelancongan menarik kepada orang luar.

“Sekali gus, perkara ini akan membantu industri pelancongan negeri kita agar lebih berdaya saing, seterusnya dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi dalam negeri.

“Sebagai rakyat Sarawak yang cinta akan tanah air sendiri, kita perlu sentiasa menjaga keharmonian, kesejahteraan dan kebersihan Sarawak agar pelancong berasa selamat untuk berkunjung ke sini,” jelasnya.

Liza Klumai, 25, berasal dari Mukah berkata, setiap rakyat berperanan menjadi duta kecil untuk promosikan Sarawak kerana mereka lebih mengenali budaya, kawasan dan cara hidup orang tem- patan.

“Terdapat pelbagai kaedah yang dapat dilakukan bagi mempromosikan Sarawak agar terkenal di mata dunia. Antaranya membuat video tentang keunikan dan tempat-tempat menarik di Sarawak.

“Video tersebut juga dapat menceritakan makanan tradisi, budaya dan adat-adat yang masih diamalkan oleh penduduk tempatan.

“Kita tidak perlu terlalu bergantung kepada pihak pelancongan untuk memperkenalkan Sarawak kepada orang luar.

“Kita sendiri sebagai rakyat Sarawak juga mampu melakukanya,” jelasnya.

Selain mempromosikan, setiap masyarakat perlu sentiasa menjaga kebersihan agar kawasan sentiasa kelihatan cantik dan bersih.

Menurut Lyanna Nooraffiffy Abdul Wahab, 28, berasal dari Kuching, orang Sarawak mempunyai kuasa untuk menonjolkan dan mempromosikan Sarawak dari segi penguasaan media sosial.

“Setiap penduduk tempatan merupakan aset negeri yang diperlukan untuk menarik minat pelancong dari dalam atau luar negara.

“Oleh itu, sektor pelancongan di Sarawak perlu memperbanyakan aktiviti menarik melibatkan orang luar untuk menarik perhatian mereka agar berkunjung ke Sarawak,” ujarnya.

Pelancong dialu-alukan datang ke Sarawak dan merasai sendiri pengalaman bercuti di sini. Belu cuba belum tahu.

Bagaimanapun, Marino Joseph, 24, mencadangkan setiap rakyat Sarawak mempromosikan Bumi Kenyalang melalui platform media sosial.

“Media sosial merupakan internet tanpa sempadan, setiap individu mempunyai akses untuk melayari internet.

“Internet merupakan platform paling sesuai untuk mempromosikan keunikan di Sarawak. Contohnya, pelancong dapat menikmati keindahan Taman Negara Bako.

“Selain itu, mereka dapat melihat pelbagai spesies binatang seperti burung, monyet dan buaya.

“Bahkan, mereka dapat mengunjungi Borneo Highland Resort kerana kawasan ini sangat terkenal dengan pemandangan yang indah dan segar terutamannya pada waktu senja,” jelasnya.

Pihak kementerian dan agensi pelancongan negara termasuk badan berkaitan industri pelancongan perlu konsisten dalam mempromosikan pelancongan ke luar negara.

Hal ini supaya dapat menarik minat dan perhatian orang luar untuk datang ke Sarawak.

Oleh itu, setiap rakyat Sarawak perlu berganding bahu bersama-sama kementerian pelancongan, agensi pelancongan dan badan yang berkaitan mempromosikan negeri kita melalui sumbangan idea yang bernas, memperbanyakkan pengiklanan, dan pelbagai aktiviti yang mempamerkan budaya kita.

Suara Sarawak