SEKITAR Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2023 anjuran SRI al-Amin Kota Samarahan dengan kerjasama Pertubuhan Ikram Kota Samarahan dan Hidayah Centre Foundation Kota Samarahan pada Sabtu disambut meriah.
Majlis diadakan bagi mengerat hubungan silaturahim antara warga SRI al-Amin Kota Samarahan bersama-sama agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Ramah-tamah Aidilfitri tersebut dihadiri sekitar 120 tetamu dari wakil Bahagian Pendidikan Daerah Samarahan, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Tanjung Bundung, Pertubuhan Ikram Kota Samarahan, Hidayah Centre Foundation Sarawak, Baitul Ilmi, ibu bapa, murid serta guru.
Ahli Lembaga Pendidikan Sekolah Rendah Islam alAmin Dr Nor Hisyam dalam ucapannya menegaskan ramah-tamah ini merupakan simbol kerjasama erat antara komponen masyarakat.
Beliau juga menganjurkan agar setiap masyarakat perlu saling menjalankan peranan membina generasi soleh.
Beliau berpendapat majlis ini bukan sahaja untuk menjamu selera, tetapi untuk berkenalan dengan lebih mendalam dan meluaskan jaringan perhubungan antara pelbagai institusi.
Majlis dirasmikan oleh wakil Bahagian Pendidikan Daerah Samarahan, Salinaisah Abdul Rahman dan diserikan dengan persembahan lagu hari raya daripada murid SRI al-Amin Kota Samarahan.






