MUKAH: Alumni memainkan peranan penting dalam menyokong usaha Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers ke arah kecemerlangan berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, ini jelas terbukti apabila penganjuran Program Ramah Tamah Aidilfitri berlangsung meriah dengan kehadiran warga sekolah, alumni serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Program ini bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim, malah menghimpunkan kembali bekas pelajar menyumbang kepada pembangunan sekolah.
“Kenangan pahit dan manis sepanjang menimba ilmu di sekolah sentiasa terpahat di hati dan menjadi pendorong untuk terus memberi sokongan,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut, hari ini.

Sehubungan itu, Royston yang juga Penaung Persatuan Alumni TRS menekankan kerjasama erat antara alumni, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan SMK Three Rivers terus dipertingkatkan.
Gabungan usaha daripada semua pihak diyakini mampu melonjakkan lagi prestasi sekolah dalam pelbagai bidang.

Royston turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada PIBG SMK Three Rivers untuk pelaksanaan aktiviti tahunan sekolah.
Manakala, sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Alumni TRS untuk aktiviti alumni dan RM5,000 kepada Kumpulan Tarian dan Kebudayaan Sekolah melalui Biro Pendidikan Mukah.

“Saya berharap sumbangan yang disampaikan ini dapat dimanfaatkan oleh penerima,” tambahnya.





