KUCHING: Meskipun ribuan permohonan telah diterima oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), namun kekosongan jawatan untuk diisi dalam Pengambilan Khas Guru Sarawak masih tetap banyak.
Demikian kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, sambil menambah, kekurangan calon disebabkan oleh ramai pemohon yang tidak mempunyai ikhtisas dalam pendidikan.
“Semalam kita telah mengadakan taklimat tentang perkembangan itu bersama SPP, dan memang masih banyak kekosongan walaupun ramai yang memohon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kejohanan Robot Antarabangsa Borneo 2025 di sebuah hotel di sini tengah hari tadi.
Tambahan pula, menurut Sagah, berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri, sebanyak 96 peratus sekolah di Sarawak sudah ada guru untuk mengajar subjek-subjek sedia ada.
“Secara purata, hanya terdapat satu kekosongan guru bagi setiap sekolah.
“Sarawak mempunyai lebih 1,200 sekolah, termasuk sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Justeru, kita berharap graduan dari institut pendidikan guru (IPG), yang akan menamatkan pengajian dalam masa terdekat, dapat mengisi kekosongan sedia ada,” katanya.

Sehubungan itu, Sagah berkata kekosongan pengambilan guru di Sarawak sentiasa ada kerana lebih kurang 500 hingga 1,000 kekosongan berlaku saban tahun.
Katanya, ini disebabkan oleh guru-guru yang bersara atau berhenti bekerja sebagai guru kerana alasan peribadi dan sebagainya.
Berhubung isu calon guru yang menolak penempatan di kawasan luar bandar, Sagah berkata perkara itu bergantung kepada pilihan individu terbabit.
Ketika ditanya sama ada guru yang menolak penempatan akan disenarai hitam, beliau memaklumkan perkara itu terletak di bawah bidang kuasa SPP.
“Jika mereka menolak, mereka tidak akan mendapat peluang itu lagi. Itu adalah keputusan mereka sendiri,” katanya.



