KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan bakal melaksanakan program peringkat antarabangsa melalui Borneo Youth Submit 2024 melibatkan penyertaan belia Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Timbalan Menterinya Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, inisiatif ini bertujuan memupuk perpaduan dalam kalangan belia Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Baru-baru ini, kementerian telah melaksanakan Program Sarawak Johor Sabah (SJS) Youth Exchange 2023 yang melibatkan 45 pemimpin belia di ketiga-tiga wilayah.
“Program tersebut mampu mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan belia, di samping meningkatkan semangat perpaduan,” katanya.
Rentap berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tellian, Royston Valentine berkenaan agenda pembangunan modal insan golongan belia di Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19, di sini, hari ini.
“Pihak kementerian sentiasa bekerjasama dengan agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu meningkatkan kemahiran dan kepimpinan belia di Sarawak.
Misalnya di kawasan Tellian, Rentap mendedahkan program pembangunan belia boleh membantu dalam meningkatkan kemahiran dan kepimpinan bagi kawasan tersebut.
“Antara program yang telah dirangka dilaksanakan di Bahagian Mukah adalah seperti Program Belia Kasih Ramadhan (12 April 2023), Kursus kepimpinan dan Pengurusan Organisasi (7 hingga 8 Jun 2023).
“Kemudian, Youth Got Skills di Mukah (17 hingga 18 Jun 2023) dan MYSED Go University (9 hingga 10 Disember 2023),” tambahnya.





