BINTULU: Kewujudan dua pelaburan yang diterima oleh Sarawak untuk pengeluaran gas masam di sini adalah usaha kerajaan negeri untuk menambah nilai sumber sedia ada.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu merupakan salah satu inisiatif penting kerajaan dalam usaha mengintegrasikan semua pelabuhan di negeri ini termasuk Bintulu.
“Dua syarikat itu ialah Sarawak Shell Berhad dan PTTEP HK Offshore Limited membabitkan pelaburan masing-masing sebanyak RM4 bilion,” ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Kampung Warisan Jepak, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, usaha itu juga selari dengan langkah kerajaan yang mewujudkan teknologi baharu berasaskan karbon sekali gus bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sarawak pada masa depan.
Dalam perkembangan berkaitan ujarnya, ketika ini rundingan untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu sedang giat dilaksanakan.
“Ia bakal dapat dilaksanakan dan saya telah melaporkan kepada Perdana Menteri di bawah Perlembagaan Negeri Sarawak. Tambahan pula, pelabuhan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Sarawak. Tidak ada diskriminasi dalam soal ini.
“Justeru, Pelabuhan Bintulu perlu dikembalikan kepada Sarawak,” katanya
Sebelum ini, satu perjanjian persefahaman (MoU) termeterai antara PTTEP HK Offshore Limited, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Petronas dan Sarawak Shell Berhad.
Ia merupakan sebahagian langkah penting bagi merealisasikan hasrat pembinaan kompleks loji darat dalam sektor Perindustrian Petrokimia di kawasan ini.





