ARTIKEL

Datuk Armizan Mohd Ali menerima cenderahati daripada Ketua Kaum Kampung Bratan/Asah Jafar Rabor pada PJRM.

Rantaian Agihan Bekalan Bahan Api Terus Diperkukuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Kerajaan terus memperkukuh rantaian agihan bekalan bahan api bagi memastikan kestabilan serta keterjaminan bekalan kepada rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api di negara ini kekal mencukupi selain memberi tumpuan memastikan tiada gangguan dan ketirisan dalam keseluruhan rantaian bekalan.

Menurutnya, usaha itu dilaksanakan termasuk melalui pengukuhan Jawatankuasa Tindakan Penguatkuasaan Agensi Kawal Selia (JTPAC) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.

“Walaupun sumber bekalan mencukupi, sekiranya berlaku ketirisan dalam rantaian bekalan, ia tetap akan mendatangkan masalah. Kita mahu pastikan bekalan yang diperoleh benar-benar sampai kepada golongan sasar,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Sentuhan Kasih dan PJRM di Dewan Guna Sama Kampung Bratan/Asah, Jalan Puncak Borneo di sini malam tadi.

Beliau menjelaskan, situasi krisis tenaga global ketika ini turut memberi tekanan kepada pasaran, apabila terdapat negara yang masih belum berjaya mendapatkan bekalan mencukupi dan berusaha mendapatkan sumber tersebut.

Sehubungan itu, kawalan ketat perlu dilaksanakan bagi mengelakkan ketirisan yang boleh menjejaskan bekalan domestik.

Mengulas isu kekurangan bekalan di beberapa lokasi, Armizan berkata, kes yang berlaku adalah terpencil dan kebanyakannya berpunca daripada gangguan logistik, termasuk kelewatan penghantaran ke pelabuhan, depot dan stesen minyak.

“Bekalan sebenarnya ada, tetapi berlaku gangguan dari segi penghantaran. Namun, isu ini dapat ditangani dalam tempoh singkat,” katanya.

Beliau berkata, beberapa insiden dilaporkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, namun semuanya berjaya diselesaikan segera tanpa menjejaskan bekalan secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat stesen minyak yang kehabisan bekalan melalui platform aduan yang disediakan kementerian.

Katanya, kementerian akan bekerjasama dengan syarikat minyak serta pihak berkaitan bagi memastikan bekalan dapat disalurkan dengan segera ke kawasan terjejas.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU