KOTA SAMARAHAN: Perasaan malu untuk bertutur dalam bahasa ibunda sendiri boleh menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan bahasa-bahasa minoriti, tegas Profesor Dr Ting Su Hie.
Pensyarah Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu juga memperkenalkan Hipotesis Malu Bahasa (Language Shame Hypothesis) yang menjelaskan perkara tersebut.
Beliau berkata, perasaan malu atau enggan menggunakan bahasa etnik sendiri merupakan antara faktor yang boleh menyebabkan penggunaan bahasa ibunda semakin berkurangan dalam kalangan keluarga dan masyarakat sehingga akhirnya pupus.
“Sesebuah bahasa, jika mahu kekal kukuh, mesti digunakan dalam semua kehidupan seharian. Jika masyarakat berasa malu untuk menggunakannya, bahasa itu akan semakin kurang digunakan sehingga mungkin hanya dituturkan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk Language Choice and Power di Teater Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), UNIMAS di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kelangsungan satu bahasa bukan sahaja bergantung kepada penggunaannya dalam pelbagai konteks sosial seperti keluarga, sekolah, tempat kerja dan institusi awam, malah bergantung kepada sama ada bahasa tersebut diwariskan kepada generasi seterusnya.
Katanya, apabila ibu bapa berhenti bertutur dalam bahasa ibunda dengan anak-anak mereka, rantaian pewarisan bahasa akan terputus sekali gus meletakkan bahasa tersebut dalam risiko mengalami kemerosotan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pemimpin masyarakat mampu memainkan peranan penting dalam memperkukuh penghormatan bahasa etnik.
“Jika ahli politik dan pemimpin masyarakat dilihat serta didengar bertutur dalam bahasa etnik mereka dengan anak dan cucu, mungkin masyarakat lain akan mengikutinya kerana mereka melihat bahasa itu diberi penghormatan yang sewajarnya,” jelasnya.
Dalam hal berkaitan, beliau turut menggesa ibu bapa dan masyarakat supaya mengambil tanggungjawab peribadi dalam memelihara bahasa masing-masing.






