Rasuah dihina, maruah dibina

KEMELUT rasuah merupakan masalah yang tidak mudah dipandang enteng oleh mana-mana pihak.

Ini kerana, rasuah juga merupakan salah satu faktor yang turut tersenarai merosakkan harapan dan inspirasi negara untuk menjadi negara berpendapatan tionggi seperti terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) sepanjang 2016-2020.

Antara persoalan yang sering dibangkitkan ialah punca berlakunya gejala rasuah dan kesan rasuah terhadap individu, keluarga dan masyarakat. Selain itu, usaha dilakukan sama ada daripada pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan berkaitan langkah mengatasi gejala rasuah daripada terus menjadi barah di Malaysia.

Dalam kamus Concise Law Dictionary, P.G. Osborne memberi definisi “bribery and corruption” sebagai perbuatan memberi atau menawarkan pemberian kepada mana-mana pihak dengan tujuan mempengaruhi bidang pekerjaannya.

Rasuah yang berleluasa merupakan cerminan terhadap mutu pentadbiran negara. Kebanyakan kajian tentang kesan rasuah menunjukkan ia boleh menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah.

Hal ini kerana unsur rasuah menghalang penyertaan pelaburan tempatan dan menyekat kemasukan pelaburan asing ke sesebuah negara.

Selain daripada itu, banyak bukti menunjukkan negara yang dibebani masalah rasuah mempunyai pasaran saham yang tidak menentu, pengawasan sistem perbankan yang tidak cekap dan pasaran modal yang kecil.

Dengan kata lain negara yang mengamalkan rasuah membayar pada harga yang mahal untuk program pembangunannya terutama dalam pembangunan ekonomi.

Justeru, tidak hairan agenda pembasmian rasuah menjadi salah satu daripada beberapa agenda penting yang diberi perhatian utama oleh setiap kepimpinan di dunia, termasuk Malaysia.

Menurut portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), statistik terkini tangkapan bagi Mei 2019 ialah 38 melibatkan dua kategori iaitu penjawat awam (17 orang atau 44.7 peratus) dan orang awam (21 orang atau 55.26 peratus).

Jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding Januari (154), Februari (74), Mac (134) dan April (297). Manakala, laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018 menunjukkan Malaysia kekal mendapat 47 mata, namun kedudukan negara sedikit meningkat berbanding 2017.

Menurut pertubuhan Transparency International (TI), Malaysia berada pada kedudukan ke-61 daripada 180 negara. Daripada 180 negara, Denmark berada di tempat pertama dengan 88 mata, diikuti New Zealand (87), Finland (85), Sweden (85) dan Norway (84).

Laporan itu menyatakan dalam kalangan negara Asean, Singapura mendapat 85 mata. Brunei, Indonesia dan Thailand juga menunjukkan peningkatan, manakala Vietnam, Myanmar dan Kemboja merosot.

Berdasarkan keadaan semasa, jika Kerajaan PH benar-benar mahu membuktikan mereka menolak amalan rasuah, jalan untuk itu sedang terbuka.Namun matlamat itu tidak dapat dicapai dengan hanya menyerahkan tugas memerangi rasuah kepada agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata.

Institut Integriti Malaysia di Kuala Lumpur dalam kenyataan baru-baru ini memberitahu, ahli politik juga mesti memainkan peranan masing-masing dalam memerangi kemelut rasuah ini.