RASUAH ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan berkaitan dengan tugas rasmi.
Berdasarkan Data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rekod menunjukkan penjawat awam antara paling ramai terbabit dengan salah laku rasuah.
Menurut laporan itu, ketiadaan integriti ketika mempunyai kuasa dan peluang, menjadi antara faktor golongan itu terlibat dengan rasuah.
Berdasarkan data tersebut, setiap tahun hampir separuh daripada tangkapan keseluruhan SPRM melibatkan penjawat awam.
Dari 2016 hingga 30 September 2022, seramai 27 individu dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi-agensi di bawahnya ditangkap kerana kesalahan rasuah.
Rekod itu turut mendedahkan bahawa sebanyak 74 peratus daripadanya atau 20 tangkapan adalah disebabkan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.
Sebuah organisasi pemikir bebas, EMIR Research mendedahkan bahawa Malaysia kerugian RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun akibat rasuah.
Media nasional melaporkan EMIR Research menggunakan pendekatan serupa dengan kajian Dreher, Kotsogiannis dan McCorriston pada 2007.
Kajian Dreher serta pasukannya menggunakan model persamaan struktur untuk membina indeks rasuah kardinal (nombor yang menyatakan kuantiti) untuk sekitar 100 negara dan mengira ukuran kerugian akibat rasuah sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita.
EMIR Research pula menggunakan teknik pemodelan Rasch lebih ketat berbanding model persamaan struktur, untuk menukar beberapa petunjuk tahap rasuah yang diiktiraf di peringkat global, seperti Indeks Persepsi Rasuah, Indeks Kawalan Rasuah.
Kumpulan ini mengandaikan bahawa dari 1997 hingga 2010, Malaysia mengalami kerugian ekonomi mencecah dua peratus daripada KDNK akibat rasuah.
Data lain yang melaporkan secara terbuka ialah Transparency International Malaysia (TI-M) dan Bank Dunia.
Hasil kajian itu, dianggarkan keseluruhan kesan (kos) terhadap ekonomi Malaysia akibat rasuah sepanjang tempoh 26 tahun yang lalu ialah sebanyak RM2.3 trilion.
Baru-baru ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengingatkan penjawat awam terutama di Johor dari peringkat bawahan hingga ke atasan supaya tidak terbabit dengan rasuah.
Baginda bertitah, penjawat awam perlu hidup dalam kadar kemampuan sendiri dan peringatan itu bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam gejala rasuah.
Penjawat awam juga perlu mengisytiharkan harta setiap tahun kerana ini adalah salah satu cara untuk mencegah pemilikan harta luar biasa.
Baginda turut menyarankan supaya kerajaan turut mengkaji gaji segelintir kakitangan awam yang terlalu rendah kerana ia turut menjadi faktor tekanan hidup, terutama di bandar-bandar besar.
Amalan rasuah oleh segelintir penjawat awam ini sememangnya merosakkan nama perkhidmatan awam dan imej negara.
Ia membawa kesan negatif dari segi usaha menarik pelaburan, sama ada tempatan atau asing dan aktiviti ekonomi yang lain.
Sekiranya perkara ini tidak dibendung, ia pasti melarat dan merebak sehingga menghancurkan perkhidmatan awam serta negara.
Justeru, amalan rasuah khususnya dalam perkhidmatan awam mesti dihentikan demi meningkatkan imej penjawat awam



