Keindahan budaya dan warisan Melayu diraikan melalui program Ratu Kebaya Cilik Sarawak, anjuran AI Dot Com Management.
Acara yang julung kali diadakan ini bukan sahaja menonjolkan keanggunan busana tradisional, malah menjadi platform kepada para pereka fesyen tempatan dan serantau untuk menampilkan karya terbaik mereka.
Menurut pengasas AI Dot Com Management, Awg Amirul Hafizan Awg Daili, program ini diwujudkan untuk memberi laluan dan penghargaan kepada para pereka dari Sarawak khususnya, agar mereka dapat mendedahkan hasil karya agung mereka di pentas berprestij ini.
Lebih menarik, para pereka turut digalakkan menggabungkan elemen-elemen seni rekaan dari Malaysia dan Indonesia iaitu dua negara serumpun yang mempunyai akar budaya yang sama untuk menonjolkan keunikan kebaya dalam bentuk yang lebih gah, mewah dan segar.

“Bertemakan “Pertempuran Budaya: Warisan dan Moden”, Ratu Kebaya Cilik Sarawak membawa pendekatan yang berani dan kontemporari.
“Program ini bukan hanya menampilkan kebaya tradisional, tetapi juga memberi ruang kepada rekaan moden yang masih mengekalkan unsur warisan, sesuai dengan perubahan zaman dan citarasa generasi kini,” katanya ketika berucap pada majlis Ratu Kebaya Cilik Sarawak di Plaza Merdeka baru-baru ini.
Tambah Amirul, salah satu objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap warisan nenek moyang yang amat berharga. Program ini juga dilihat sebagai langkah awal dalam memelihara budaya kebaya agar terus relevan dan tidak ditelan zaman.

Di samping itu, Amirul turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan kerja AI Dot Com yang telah bekerja keras demi menjayakan acara ini.
Ini kerana, Amirul akui pelbagai cabaran telah ditempuhi sepanjang proses penganjuran, namun semangat kerjasama yang utuh membuahkan kejayaan yang membanggakan.
“Rakan kerjasama baharu, Fly-Fly Management turut dialu-alukan dalam keluarga AI Dot Com. Diharapkan kerjasama ini akan terus berkembang kukuh pada masa akan datang.
“Tidak ketinggalan, saya juga memberi penghargaan kepada Pusat beli-belah Plaza Merdeka kerana menyediakan fasiliti dan ruang bagi acara ini berlangsung dengan sempurna. Malah, kerjasama ini bakal diteruskan dalam sambutan Hari Kemerdekaan yang bakal tiba bulan depan,” jelasnya.

Tidak dilupakan, Amirul turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penaja yang sudi bersama menjayakan program ini, antaranya Raz Couture, Austin Car Accessories, Zeed Zeeda Management, Her Artistry Project Studio by MarieAnn, Bryani Resources Sdn Bhd, Mas Collections serta jurugambar rasmi daripada Behind The Scene V.
Sokongan padu daripada semua pihak jelasnya, menjadikan acara ini sebagai satu kejayaan besar yang membanggakan industri fesyen dan budaya di Sarawak.
Untuk pengetahuan, pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori A (6 hingga 9 tahun) dan Kategori B (10 hingga 14 tahun).

Bagi Kategori A, tempat pertama dimenangi oleh Aishah Nuha Zahira Ramli (9 tahun), diikuti oleh Liezel Joso Darrel (8 tahun) sebagai naib juara dan tempat ketiga pula disandang oleh Leya Aldabella Ahmad Hidayat (6 tahun). Anugerah Kebaya Terbaik bagi kategori ini turut dimenangi oleh Aishah Nuha Zahira.
Sementara itu, bagi Kategori B, tempat pertama menjadi milik Putri Ika Arissa Shamsul (11 tahun), diikuti tempat kedua Nur Amydhiya Mohd Alif (13 tahun) dan tempat ketiga dimenangi oleh Mia Arisha Mohd Hafiz Beckwell (14 tahun). Anugerah Kebaya Terbaik pula dianugerahkan kepada Nur Amydhiya Mohd Alif.
Dengan ini, penganjuran Ratu Kebaya Cilik Sarawak ini mampu menjadi satu manifestasi kecintaan terhadap budaya yang diwarisi.
Dengan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta, pereka dan seluruh pasukan penganjur, jelas bahawa warisan kebaya akan terus mekar dalam jiwa generasi muda.
Acara ini turut membuktikan bahawa dalam dunia moden sekalipun, warisan tidak pernah lapuk malah terus bersinar apabila diberi ruang untuk berkembang bersama kreativiti masa kini.








