ARTIKEL

Raya di Jinju, hati di kampung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BERAYA di perantauan sering membawa perasaan bercampur baur — gembira menyambut hari mulia, namun tetap dihantui rasa rindu dengan keluarga dan kampung halaman.

Tiada suara ketukan pintu di pagi raya, tiada aroma rendang dari dapur ibu, dan tiada pelukan hangat daripada ayah serta adik-beradik.

Jauh di sudut hati, hari raya terasa sepi tetapi hidup di perantauan memerlukan pengorbanan dan tanggungjawab, menyebabkan perantuan perlu kuatkan hati.

Begitulah yang dikongsikan Mohd Kaswandee Razali, 32, ketika beraya di Jinju, sebuah bandar dalam wilayah Gyeongsangnam-do, Korea Selatan, pada tahun ini.

Walaupun tahun ini kali ketiga beraya di perantauan demi mencari rezeki, perasaannya tetap bercampur baur dan dipenuhi rasa sedih.

“Saya sangat merindui ibu, Masniah Shapiee; ayah, Razali Sahari; nenek, Jamak Keram; dan seluruh ahli keluarga.

“Paling menyentuh hati apabila beberapa hari sebelum raya, ibu kerap membuat panggilan video.

Bermula dengan perbualan santai dan gelak ketawa, akhirnya bertukar menjadi sebak dan tangisan.

“Walaupun mereka tahu saya tidak dapat pulang ke kampung, jauh di sudut hati mereka tetap mengharapkan satu ‘keajaiban’ — iaitu anaknya tiba-tiba muncul di pagi raya,” katanya kepada Suara Sarawak. Kaswandee yang berasal dari Kuala Balingian turut berkongsi suasana hari raya di Korea Selatan.

Katanya, sambutan tersebut tetap meriah kerana terdapat sahabat dan komuniti kecil rakyat Malaysia di sana. Menurutnya, tahun ini lebih istimewa kerana dua adiknya yang sedang melanjutkan pelajaran di sana turut beraya bersama.

Walaupun sekejap, namun amat bermakna.

“Di sini, komuniti Malaysia banyak berkumpul di Seoul, yang terletak kira-kira empat jam perjalanan dari Jinju.

“Kali ini, saya berpeluang menyertai sambutan raya yang dianjurkan di Kedutaan Besar Malaysia. Majlis ini diadakan khusus untuk mereka yang mendaftar awal dan menerima jemputan.

“Antara pelbagai makanan yang dihidangkan adalah rendang, dendeng, lemang, ketupat, laksa Penang, ayam masak merah, lodeh, kuih-muih raya dan yang paling menarik, kek lapis Sarawak buatan sendiri turut disediakan,” katanya lagi.

Menurutnya, kali ini terdapat tiga hingga empat jenis kek lapis disediakan oleh pihak kedutaan.

Makanan lain pula lebih kepada menu tradisional Malaysia, dan sambutannya tetap meriah walaupun jauh dari kampung. Kaswandee turut menjelaskan bahawa bahan-bahan masakan tradisional agak sukar diperoleh di sana.

“Namun, pengalaman mengajar kami untuk memesan bahan dari Malaysia lebih awal, terutamanya yang sukar diperoleh, dan menyimpannya untuk hari-hari istimewa seperti hari raya.

“Itulah nikmat dan cabaran beraya di perantauan. Segala-galanya perlu dirancang lebih awal, namun kepuasannya sangat berbeza,” ujarnya.

Sehubungan itu, dia turut berkongsi bahawa dia sempat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersamasama komuniti Malaysia di kedutaan tersebut, lengkap dengan imam khas dan khutbah hari raya.

Tambahnya, beberapa rakannya turut menganjurkan rumah terbuka pada hujung minggu, namun dia tidak dapat hadir kerana kekangan masa dan jarak.

“Di Jinju pula, komuniti Islam dari Pakistan, India, dan Indonesia turut menganjurkan sambutan secara kecilkecilan.

“Setiap tahun, komuniti Pakistan akan menjemput semua umat Islam untuk menunaikan solat sunat dan menjamu kami dengan hidangan tradisional mereka.

“Kelainan sambutan di sini adalah saya berpeluang mengenali ramai rakan baharu dan berkongsi pengalaman dengan individu pelbagai latar belakang, termasuk pelajar, pegawai kedutaan, dan pempengaruh Malaysia yang terkenal.

“Berbeza dengan di kampung kerana kita dikelilingi oleh keluarga yang jauh dan jiran tetangga, di perantauan kita berpeluang membina ‘keluarga baharu’ dan memperoleh pengalaman yang tidak ternilai,” katanya.

Selain itu, Kaswandee memberitahu, beraya di perantauan membuatnya lebih menghargai tradisi di kampung.

“Walaupun Syawal tahun ini belum selesai, saya sudah menanti Syawal tahun hadapan dan merancang untuk pulang ke kampung halaman.

“Bagi saya, perkara paling penting dalam meraikan sesuatu adalah insan yang bersama-sama kita menyambutnya, sementara lokasi hanyalah perkara kedua.

“Namun, tidak dinafikan, kemeriahan di kampung, terutama di Sarawak, sangat mengagumkan,” jelasnya.

“Di samping itu, dedah Kaswandee, di kampungnya, setiap rumah akan menghias lampu raya dengan kreatif, malah terdapat pertandingan tidak rasmi iaitu rumah yang paling meriah.

Bukan itu sahaja, satu lagi budaya unik di kampungnya ialah hampir setiap rumah dilengkapi dengan set karaoke. Jadi, ketika ziarah raya, semua boleh menyanyi bersama-sama dan menikmati lagu-lagu serentak.

Kongsinya, jika diberi peluang untuk membawa aktiviti dari kampung ke Korea Selatan, dia akan memperkenalkan budaya menghias rumah dengan lampu raya yang penuh warna dan suasana rumah terbuka yang meriah, lengkap dengan set karaoke.

Ujarnya lagi, bayangkan menyambut raya dengan sahabat perantauan sambil menyanyi lagu raya, pasti suasananya sangat meriah dan penuh keceriaan.

Walaupun beraya di perantauan, dia tetap merindui suasana kamboh, iaitu kemeriahan yang sukar digambarkan dan tiada bandingannya.

“Saya berasal dari keluarga besar, dan semasa hari raya, suasana rumah pasti penuh keceriaan.

Bayangkan, hanya bapa dan ibu saudara sahaja sudah mencecah 20 orang, belum lagi sepupu-sepupu dan anak-anak mereka.

“Rumah sentiasa dipenuhi dengan gelak tawa dan karenah anak-anak kecil yang menceriakan suasana.

“Ketika melayan tetamu dan saudara-mara yang datang berkunjung, memang tidak menang tangan, namun itulah yang paling dirindui kerana kepenatan itu membawa kebahagiaan.

“Suasana raya seperti ini rasanya sukar ditemui kerana generasi kini tidak lagi membina keluarga sebesar generasi terdahulu, mungkin disebabkan oleh faktor masa, kerjaya, dan perubahan zaman,” tambahnya.

Tambahnya lagi, dia merindui masakan air tangan ibu dan ibu saudara di kampung kerana rasanya tiada tandingan. Hal ini kerana, setiap juadah menyimpan rasa dan cerita tersendiri.

Gurau senda mereka yang spontan dan penuh kasih sayang membuatkan perkaraperkara kecil ini menjadi lebih bermakna, terutamanya apabila berjauhan.

“Setiap momen adalah kenangan berharga yang sukar digantikan.

Bagaimanapun, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dari Jinju, Korea Selatan,” ujarnya lagi.

BERITA LAIN

Pencapaian penulis PUTERA

DALAM konteks perkembangan sastera di Sarawak, Hadiah Sastera Sarawak (HSS) memainkan peranan penting sebagai wadah pengiktirafan terhadap ketekunan, kreativiti dan sumbangan para penulis tempatan. Sebelum

Teknologi rapat jurang kaunseling

DUNIA sedang berubah. Cara manusia bekerja, berkomunikasi dan mendapatkan maklumat turut berubah. Tanpa kita sedari, cara manusia mendapatkan sokongan emosi juga sedang berubah. Telefon pintar,

BERITA TERBARU