KUCHING: Kertas Putih Reformasi Kesihatan yang bakal dibentangkan di Parlimen pada bulan hadapan diharap dapat merealisasikan kuasa pengurusan kesihatan di Sarawak.
ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, Kerajaan Persekutuan tidak dapat mengambil pendekatan Dasar Menyeluruh bagi menangani isu kesihatan di Sarawak.
Hal ini kerana jelasnya, cabaran yang dihadapi berbeza dengan yang berlaku di Semenanjung Malaysia.
“Melihat kepada faktor geografi serta taburan penduduk di Sarawak, penting supaya perkhidmatan ini baik dari aspek fasiliti atau tenaga kerja perlu mencukupi untuk menampung keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan DUN Sarawak Ke19, di sini, semalam.
Ibrahim turut memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kementerian negeri untuk memasukkan subjek pemeliharaan alam sekitar untuk diajar di sekolah.
Menurutnya, cara sedemikian antara cara untuk mendidik pelajar tentang kesan perubahan iklim serta usaha mengurangkan kesan karbon.
“Walaupun terdapat usaha bersepadu oleh Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan serta negara lain untuk memelihara alam sekitar, ia juga menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kesedaran ini disebarkan kepada generasi muda dan seluruh masyarakat,” tegasnya.
Tambahnya, perubahan iklim adalah nyata yang berlaku akibat pembakaran bahan api fosil. Untuk itu tambahnya, penggunaan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) adalah masa depan bersama penambahbaikan kepada kemudahan pengangkutan awam.
“Kerajaan negeri sedang mengusahakan perkara ini dan kita mesti menyokong inisiatif yang dilakukan untuk menjaga alam sekitar.
“Seiring dengan itu, kita juga mesti memastikan latihan dan peluang mencukupi untuk ditawarkan kepada generasi baharu supaya mereka dapat berkhidmat dalam bidang ekonomi baharu ini,” katanya.






