ARTIKEL

Rebut berkat lailatulqadar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT. Dalam bulan yang mulia ini, umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah, memperbaiki diri serta mendekatkan diri kepada Allah.

Namun, 10 malam terakhir Ramadan mempunyai keistimewaan yang sangat besar kerana di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, iaitu lailatulqadar.

Oleh itu, umat Islam dianjurkan untuk bermujahadah dengan bersungguh-sungguh beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

Perkataan mujahadah bermaksud bersungguhsungguh melawan hawa nafsu serta berusaha dengan penuh keikhlasan untuk melakukan ketaatan kepada Allah.

Dalam konteks Ramadan, mujahadah pada 10 malam terakhir bermaksud meningkatkan ibadah seperti solat malam, membaca al-Quran, berzikir, berdoa serta melakukan iktikaf di masjid.

Allah SWT menyebut tentang keistimewaan malam lailatulqadar dalam al-Quran: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr.

Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik daripada 1,000 bulan.” (Surah al-Qadr: 1–3) Ayat ini menunjukkan betapa besarnya kelebihan malam tersebut.

Amalan yang dilakukan pada malam lailatulqadar seolah-olah lebih baik daripada beribadah selama 1,000 bulan, iaitu lebih daripada 83 tahun. Justeru, umat Islam digalakkan bersungguh-sungguh meningkatkan ibadah pada 10 malam terakhir bagi merebut peluang beribadah pada malam yang penuh kemuliaan ini.

MENGHIDUPKAN QIAMULLAIL

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh yang terbaik dalam memanfaatkan 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, beliau berkata: “Apabila masuk 10 malam terakhir Ramadan, Rasulullah SAW menghidupkan malamnya, membangunkan keluarganya, bersungguhsungguh beribadah dan mengikat kainnya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Hadis ini menggambarkan kesungguhan Rasulullah SAW dalam meningkatkan ibadah pada 10 malam terakhir.

Baginda menghidupkan malam dengan mendirikan solat, membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah.

Selain itu, baginda juga membangunkan ahli keluarganya supaya mereka turut sama meraih keberkatan malam-malam tersebut.

Antara amalan utama dalam mujahadah 10 malam terakhir Ramadan ialah solat malam atau qiamullail.

Solat tahajud, solat witir dan solat sunat yang lain sangat digalakkan kerana pada waktu itu hubungan antara hamba dengan Allah sangat dekat.

Selain itu, membaca alQuran juga merupakan amalan yang sangat dianjurkan kerana Ramadan ialah bulan turunnya al-Quran.

IKTIKAF DI MASJID

Amalan lain yang sangat digalakkan ialah iktikaf di masjid.

Iktikaf bermaksud berdiam diri di dalam masjid dengan niat beribadah kepada Allah. Rasulullah SAW sentiasa melakukan iktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan sebagai usaha untuk mencari malam lailatulqadar.

Melalui iktikaf, seseorang dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah tanpa gangguan urusan dunia.

Selain itu, umat Islam juga dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khususnya doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Aisyah RA ketika mencari lailatulqadar: “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa‘fu ‘anni.”

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan menyukai kemaafan, maka maafkanlah aku.”

(Hadis riwayat al-Tirmizi) Doa ini sangat digalakkan kerana doa tersebut mengandungi permohonan keampunan daripada Allah, sedangkan setiap manusia tidak terlepas daripada dosa dan kesalahan.

Kesimpulannya, 10 malam terakhir Ramadan merupakan peluang yang sangat berharga bagi umat Islam untuk meningkatkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Mujahadah dalam tempoh ini memerlukan kesungguhan, keikhlasan serta pengorbanan untuk melawan rasa malas dan keletihan.

Dengan memanfaatkan sepenuhnya malam-malam tersebut melalui solat, bacaan al-Quran, doa dan iktikaf, kita diharapkan dapat memperoleh keberkatan lailatulqadar serta keampunan daripada Allah SWT.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU