ARTIKEL

Rebut kasut emas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADA usia 39 tahun, Lionel Messi melakar satu lagi sejarah, sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia, dengan 18 jaringan.

Ia susulan dua golnya ketika membenam Austria 2-0 pada aksi kedua Kumpulan J di Stadium Dallas Selasa lalu.

Messi mengatasi pemegang rekod, Miroslav Klose (penyerang Jerman), 16 gol, yang diciptanya pada 2014. Klose menyertai empat edisi Piala Dunia, pada 2002, 2006, 2010 dan 2014.

Messi turut menjaringkan tiga gol ketika membenam Algeria 3-0 dalam aksi pertama.

Ia bermakna Messi menjaringkan kesemua gol Argentina dalam kempen Piala Dunia setakat ini.

Malah beliau dijangka menambah angka gol apabila turun menentang Jordan dalam aksi penutup peringkat kumpulan Ahad ini.

Sebelum sepak mula, Messi bersama-sama Cristiano Ronaldo, 41, sudah pun mencipta sejarah, sebagai pemain yang menyertai enam edisi Piala Dunia, sejak 2006 hingga 2026, satu rekod yang sukar untuk ditewaskan selepas ini.

Ia bermakna kedua-dua ikon bola sepak dunia itu sudah pun bergelumang dalam Piala Dunia selama 24 tahun.

Mereka bersama-sama dua lagi nama besar, Kylian Mbappe, 27, dan Erling Haaland, 25, (Norway) akan bersaing untuk merebut Anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2026, selaku penjaring terbanyak.

Mbappe dengan 16 gol sekarang ini, berpotensi untuk memintas Messi, 18 gol.

Manakala Ronaldo, 10 gol.

Sekarang ini Messi mendahului senarai peledak terhebat Piala Dunia 2026, dengan lima gol, diikuti Mbappe dan Erling Haaland (empat gol), Jonathan David (Kanada), Denis Undav (Jerman) dan Ayasa Ueda (Jepun) masingmasing tiga gol.

Manakala Ronaldo dua gol Perebutan kasut emas kali ini cukup menarik, kerana sudah ada pemain yang menjaringkan lima dan empat gol ketika kejohanan baru memasuki perlawanan kedua.

Dengan pertambahan jumlah pasukan dan permainan, maka potensi untuk menjaringkan lebih 10 gol tetap ada.

Jika Messi dan Mbappe berjaya mengemudi pasukan hingga ke pentas final, maka mereka akan mengharungi lapan perlawanan, sekali gus akan lebih banyak peluang untuk menambah jaringan.

Mbappe merupakan penjaring terbanyak Piala Dunia 2022 dengan lapan gol, diikuti Messi, tujuh gol.

Kehadiran banyak pasukan kecil, akan memudahkan tugas penyerang untuk menjaringkan lebih banyak gol.

Situasi ini turut membantu Messi dan Mbappe untuk mencipta rekod yang lebih baik daripada Klose, Ronaldo (Brazil), 15 gol, Gerd Muller (Jerman), 14 gol, Just Fontaine (Perancis), 13 gol, Pele (Brazil), 12 gol dan Jurgen Klinsmann (Jerman), 11 gol.

Pemerhati Piala Dunia 2026 menjelaskan Messi tidak akan berhenti memainkan peranannya sebagai ‘mesin gol’ Argentina.

Malah beliau yang tidak berhasrat untuk mengukir nama sebagai penjaring terbanyak kelihatan lebih tenang kali ini, berbanding dalam dua atau tiga Piala Dunia yang lalu.

Ia kerana Messi sudah pun menjulang trofi Piala Dunia 2022, jadi tiada lagi tekanan dan bebanan di bahunya.

“Keadaan ini pasti membantunya untuk tampil lebih menyerlah,” ujar pemerhati tersebut.

Messi terkenal sebagai pemain ‘bersahaja’ setiap kali beraksi, seolah-olah tidak berpeluh ketika wisel penama dibunyikan.

Satu-satunya pemain yang boleh mengatasi rekod jaringan Messi selepas ini ialah Mbappe.

Dengan 16 gol dalam tangan, Mbappe berpotensi untuk menambahnya, bukan sahaja dalam kejohanan ini, tetapi juga dalam Piala Dunia 2030, mahupun 2034. Ia bergantung kepada kondisinya, sebagai atlet.

Pada 2030 Mbappe akan berusia 31, dan 35 tahun pada 2034.

Ia bermakna, Mbappe boleh beraksi dalam dua lagi Piala Dunia, malah ada kemungkinan tiga lagi (2038), pada usia 39 tahun, sama superti Messi sekarang ini.

Pada masa yang sama Mbappe juga kurang tekanan, kerana telah pun memenangi Piala Dunia 2018. Berbeza dengan Ronaldo, kerana belum pernah menang Piala Dunia.

Pada usia 41 tahun, beliau kini berada dalam ‘masa kecederaan’.

Mungkin namanya akan terpahat dalam sejarah, sebagai pemain kelab terhebat, bukannya sebagai pemain negara yang berjaya.

Ronaldo juga boleh berbangga dengan nilai kekayaannya yang mencecah RM6.26 bilion, sebagai atlet bilionair pertama dalam sejarah sukan.

Mungkin tiada lagi pemain sekaya Ronaldo selepas ini, walaupun namanya kelihatan tersisih dalam sejarah Piala Dunia.

Hakikatnya, ketika Diego Maradona ‘menjuarakan’ Argentina buat kali kedua pada 1986 di Azteca, Mexico, Lionel Messi masih berusia setahun. Ketika itu ramai yang menjangka pemain seperti Maradona hanya akan lahir dalam tempoh 50 tahun lagi, malah mungkin 100 tahun.

Namun Messi memendekkan tempoh tersebut, hanya 36 tahun selepas itu, lahirnya bintang sehebat Maradona, malah mungkin lebih hebat lagi.

Messi membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 2022, dan mungkin 2026

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU