SIBU: Inovasi dan kerjasama adalah kunci kepada industri tempatan untuk terus memacu transformasi, kata ADUN Bukit Assek Chieng Jin Ek.
Beliau berkata kedua-dua elemen tersebut sangat penting untuk memastikan proses transformasi berjalan dengan lancar dan menyeluruh.
“Ini termasuk transformasi dan inovasi melalui penjenamaan masakan tempatan, merebut peluang pemodenan dalam industri tradisional atau memanfaatkan industri budaya dan kreatif untuk membawa perubahan.
“Dengan itu, adalah perlu untuk mewujudkan forum inovasi khusus, menjemput pakar industri, usahawan dan wakil kerajaan untuk mengambil bahagian dalam perbincangan dan berkongsi teknologi, trend dan pengalaman terkini,” katanya dalam ucapannya pada Forum Inovasi Industri Tempatan Sibu 2024 yang dihadiri 382 peserta, di sini.
Beliau berpendapat, seminar industri biasa, pertandingan keusahawanan, dan acara pameran dianjurkan turut memberi peluang kepada usahawan dan inovator tempatan untuk melakukan pembentangan dan bertukartukar idea.
Chieng Jin juga menekankan kepentingan kerjasama antara industri yang berbeza bagi mewujudkan projek penyelidikan dan pembangunan bersama, berkongsi kemudahan atau sumber pengeluaran serta merangka strategi pemasaran bersama untuk mencapai sinergi lebih besar.
“Sebagai contoh, bekerjasama dengan pengeluar pertanian tempatan, syarikat teknologi untuk membangunkan penyelesaian pertanian pintar bagi meningkatkan hasil dan kualiti tanaman,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga dapat memberi insentif kepada perniagaan tempatan untuk berinovasi dan berkembang dengan menyediakan insentif cukai, dana inovasi dan sokongan pemindahan teknologi.
Chieng Jin berkata, dengan menubuhkan dana inovasi untuk menyediakan penerokaan modal dan sokongan keusahawanan kepada perniagaan tempatan, ia sekali gus membantu meningkatkan teknologi dan mengembangkan pasaran mereka.
Beliau turut menekankan kepentingan melabur dalam pendidikan dan latihan untuk memupuk lebih ramai bakat inovatif tempatan, meningkatkan kesedaran inovasi dan semangat kerja berpasukan.
“Mewujudkan biasiswa inovasi untuk menarik pelajar cemerlang melibatkan diri dalam inovasi saintifik dan keusahawanan, sambil menyediakan latihan amali serta sokongan bimbingan akan membantu mereka menterjemah idea kepada nilai perniagaan,” tambahnya.
Chieng Jin percaya, melalui langkahlangkah yang dinyatakan, industri tempatan Sibu dapat merebut peluang pembangunan, mencapai inovasi teknologi dan menaik taraf industri, sekali gus mengubah kuasa tempatan dan meningkatkan tahap pembangunan ekonomi dan sosial tempatan.
Hadir sama, Pengerusi Penganjur Forum, Lee Siang Che.






