ARTIKEL

Regata Perahu Naga Antarabangsa tarik 2,450 peserta ke Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 2,450 peserta daripada 80 pasukan mewakili 22 negara bakal menghidupkan suasana Tebingan Kuching menerusi Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak Ke-12, yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran itu bukan sahaja menarik penyertaan antarabangsa, malah merancakkan sektor pelancongan dan hospitaliti negeri.

Menurutnya, kehadiran peserta bersama keluarga serta tempoh penginapan yang lebih panjang memberi manfaat kepada pengusaha hotel, restoran dan perniagaan tempatan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak 2026, di sini, hari ini.

Penganjuran acara antarabangsa secara berterusan penting untuk memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan dan kebudayaan.

Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak tahun ini mempertandingkan tujuh kategori, termasuk dua kategori baharu, iaitu Lelaki 12 Pendayung Tertutup Malaysia dan Terbuka Senior B Antarabangsa 12 Pendayung bagi peserta berusia 50 tahun ke atas.

Antara negara yang mengambil bahagian ialah Australia, China, Jepun, Indonesia, Singapura dan Filipina, selain penyertaan baharu dari Liechtenstein, Vietnam, Kemboja, Argentina, Fiji, Moldova dan Mexico. Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM200,000 berserta piala dan pingat.

Sementara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual menyempurnakan majlis penyerahan pendayung secara simbolik dan upacara mencalit mata perahu naga (eye-dotting) pada jam 3 petang esok, sempena Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2026 yang berlangsung dari 23 Oktober hingga 1 November.

Perlumbaan tradisional Sarawak Regatta pula dijadual berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November, melibatkan 18 acara dalam kategori tempatan dan terbuka.

Kemuncak Sarawak Regatta bagi merebut Piala Raja Sungai dijadual berlangsung pada 1 November, disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU