KUCHING: Kesedaran awam berkaitan pendermaan organ di Sarawak masih rendah apabila ramai keluarga enggan memberi persetujuan walaupun ahli keluarga mereka pernah berikrar untuk menderma.
Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr. Ngian Hie Ung berkata, kekangan itu sering menjejaskan proses pengambilan organ yang perlu dilakukan segera bagi menyelamatkan nyawa.
“Walaupun seseorang sudah berikrar, kami tetap memerlukan persetujuan keluarga.
“Masa sangat kritikal kerana sebarang kelewatan boleh menyebabkan organ tidak lagi sesuai digunakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Minggu Kesedaran Pendermaan Organ di HUS, hari ini.
Tambahnya, rekod pendermaan di negeri ini masih rendah meskipun permintaan semakin meningkat.
“Buah pinggang merupakan organ paling diperlukan kerana kadar penyakit buah pinggang kronik dan diabetes yang tinggi.
“Di Sarawak, kira-kira 2,000 pesakit kini menjalani dialisis dan menunggu pemindahan organ.
Di peringkat nasional, lebih 10,000 pesakit berada dalam senarai menunggu, termasuk lebih 400 kanak-kanak,” jelasnya.
Menjelas lanjut, pendermaan ketika hidup hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat, manakala pendermaan selepas kematian mampu menyelamatkan lebih ramai pesakit.
“Satu penderma boleh memberi kedua-dua buah pinggang kepada dua pesakit berbeza selain organ atau tisu lain yang sesuai.
“Justeru, penerimaan masyarakat dan persetujuan segera amat penting,” tegasnya.
Beliau menyeru lebih ramai rakyat Sarawak mempertimbangkan pendermaan organ serta berbincang dengan keluarga agar hasrat itu dihormati apabila tiba masanya.



